Thailand membuka kembali tiga pulau peranginannya di wilayah Surat Thani iaitu Koh Samui, Koh Phangan dan Koh Tao kepada pelancong asing yang lengkap divaksin pada Khamis selepas Phuket.
Inisiatif “Samui Plus” sama seperti “Phuket Sandbox”, bertujuan merancakkan kembali industri pelancongan dan ekonomi yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Peningkatan kes COVID-19 di Thailand bukanlah penghalang kedatangan pelancong asing ke negara itu.
Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha telah melancarkan “Samui Plus” secara dalam talian selepas menjadi kontak rapat ketika di Phuket.
Lebih sembilan pelancong asing terdiri personaliti Youtuber dan blog yang dijemput menyertai lawatan pengenalan Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) tiba di Koh Samui pada Khamis.
Menurut inisiatif itu, pengunjung disahkan negatif COVID-19 mesti menginap di hotel yang diluluskan kerajaan di Koh Samui selama tujuh hari sebelum boleh berpindah ke hotel di pulau lain yang berdekatan, seperti Koh Phangan atau Koh Tao untuk tujuh hari berikutnya.
Bagi pelancong yang disahkan negatif pada hari ke-15, mereka berpeluang untuk melawat ke wilayah lain di Thailand.
Setakat ini, hanya pelancong dari 69 negara dan wilayah termasuk Australia, Brunei, China, Taiwan, Jepun, Rusia, Singapura dan Emiriah Arab Bersatu dibenarkan memasuki Koh Samui.
Sumber: Bernama
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.