Anda gemarkan sesuatu yang manis?
Sebuah taman tema berasaskan manisan, Sugar Rush yang terletak di Los Angeles, Amerika Syarikat dibuka kepada umum dan pelbagai tarikan seperti lollipop raksasa, kek cawan dan pelbagai lagi makanan manis.
"Saya jatuh cinta dengan tempat ini. Sebaik sahaja melangkah masuk ke sini, saya merasa keterujaan seperti baru makan makanan manis," kata Guia Weingarten, seorang pengunjung.
Memetik laporan Reuters, taman dengan warna terang itu dibina dengan 350 gelen cat di tempat letak kereta seluas 50,000 kaki persegi di pusat beli-belah Woodland Hills Westfield.
Selepas perintah berkurung dilonggarkan, pengunjung boleh datang dan bersantai dengan patung unicorn, zirafah dan kanggaru, menjelajah koridor yang bercermin dan berinteraksi dengan maskot yang berwarna-warni.
"Sugar Rush adalah ibarat festival Burning Man dan Willy Wonka yang disatukan untuk menjadi hasil yang radikal dan itulah tarikan utamanya," kata Jasen Smith, Ketua Eksekutif Experiential Supply.
"Biarpun nampak seperti tempat untuk anak-anak tetapi sebenarnya kita mahu seluruh keluarga datang ke sini dan menikmatinya," ujarnya lagi.
Rata-rata pengunjung seronok apabila hadir ke taman tema yang seakan kilang Willy Wonka sebuah filem popular.
"Sebelum ini semua tempat memerlukan anda hanya berada dalam kenderaan tetapi di sini anda boleh keluar berjalan-jalan dan anda rasa selamat," kata Jade Alonso.
"Sedikit pelik tetapi ia pengalaman yang sangat hebat dan menyeronokkan," kata Carine Weingarten.
Sumber: Reuters
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.