Astro sebagai stesen penyiaran utama negara sudah bersedia untuk mengalu-alukan kedatangan bulan Ramadan dengan pengisian yang terbaik dan pelbagai rancangan hebat tempatan dan luar negara bakal menanti anda.
Bertemakan ‘Semangat Lebaran Kita’, tahun ini pelbagai drama tempatan berkualiti tinggi, segmen bual bicara berbentuk kerohanian, program-program gaya hidup, realiti dan rancangan istimewa untuk kanak-kanak dan filem-filem blokbuster akan mengisi masa anda.
Pelanggan-pelanggan Astro akan dapat menikmati pengisian ini dalam definisi tinggi menerusi Astro Ultra Box atau Astro Ulti Box.
Pengisian drama di Astro akan diteraju oleh drama bersiri ‘Jangan Menangis Cinta’ di slot Megadrama yang dibintangi Amyra Rosli dan Remy Ishak. ‘Jangan Menangis Cinta’, terbitan SR One adalah penterjemahan layar nukilan Siti Rosmizah Semail, penulis ternama yang juga menghasilkan karya- karya hebat seperti ‘Lafazkan Kalimah Cintamu’, 'Curi Curi Cinta' dan ‘Rindu Awak Separuh Nyawa’. Di saluran yang sama, peminat drama juga dapat menyaksikan siri mini istimewa bertajuk ‘Nusyuz Berkiblat Cinta’ yang akan menampilkan Emma Maembong, Fikry Ibrahim dan Nadhir Nasar sebagai peneraju watak-watak utama. Drama-drama ini boleh ditonton di saluran definisi tinggi Astro Ria HD (104).
‘Dendam Seorang Isteri’ pimpinan Sharulezad Mohameddin dan diterbitkan oleh Radius One, adalah adaptasi drama bersiri Korea popular yang berjudul ‘Temptation of Wife’. Adaptasi ini akan menyaksikan persembahan Fasha Sandha, Nad Zainal, Wan Raja dan Aidit Noh. ‘Dendam Seorang Isteri’ akan tersedia di saluran Astro Prima HD (105).
Menurut Azlin Reza Azmi, Naib Presiden Perniagaan Saluran Melayu Astro, pastinya Ramadan kali ini istimewa buat seluruh umat Islam di Malaysia terutama setelah beralih ke fasa endemik.
“Ramadan pada tahun ini merupakan sesuatu yang istimewa buat umat Islam di seluruh Malaysia kerana sudah dua tahun kita semua tidak dapat meraikan sambutan bulan mulia ini dengan sempurna.
“Justeru itu, bagi mencetuskan semula semangat perayaan yang lama terpendam dan dirindui dalam hati kita semua, ‘Semangat Lebaran Kita’ telah kami angkat sebagai tema kempen Ramadan & Raya di Astro bagi tahun ini bersesuaian dengan transisi kita dalam beralih ke fasa baharu untuk bangkit dan pulih daripada gelodak ancaman pandemik,” katanya.
Malah, jenama-jenama Astro Radio turut menyediakan pelbagai program menarik sepanjang Ramadan kali ini.
Para pendengar ERA juga berpeluang untuk berbuka bersama JoHaRa Pagi ERA dengan mengambil bahagian dalam ‘Berbuka JoHaRa’. Pendengar boleh mendaftar di talian dan pemenang bertuah akan dikunjungi oleh JoHaRa Pagi ERA di rumah mereka.
Selain itu, peminat boleh mendapat manfaat dalam ‘Goodday Berkat Sepakat Bersama ERA’, program tanggungjawab sosial untuk memberi barang keperluan kepada penduduk di sekitar Lembah Klang dan Johor Bahru.
Manakala ERA Sabah pula akan menganjurkan ‘Pes Sungkai Sama’, aktiviti berbuka bersama mereka yang kurang berkemampuan dan mengambil alih tugas warga Sabah seketika, sewaktu mereka berbuka puasa.
Ramadan dan Raya kali ini pasti lebih lengkap dengan pelbagai pengisian berguna di seluruh platform Astro, ayuh bersama bangkitkan ‘Semangat Lebaran Kita’.