Sebuah rumah ladang yang dikatakan berhantu di Rhode Island, Amerika Syarikat (AS), dengan kisah kejadian seramnya menjadi inspirasi pembikinan filem The Conjuring pada tahun 2013, sudah memasuki pasaran jualan hartanah.
Rumah 14 bilik dan berkeluasan 3,100 kaki persegi itu disenaraikan pada harga AS$1.2 juta (RM5.03 juta).
Syarikat hartanah juga memperkenalkan rumah yang terletak di atas bidang tanah seluas 3.5 hektar di Burrillville itu sebagai ‘salah sebuah rumah berhantu yang paling dikenali di seluruh AS’.
“Kisah legenda menyatakan, rumah itu dihantui entiti bernama Bathsheba Sherman, yang pernah menghuni rumah itu sekitar tahun 1800-an. Sehingga ke hari ini, banyak kejadian yang telah dilaporkan di dalam rumah itu,” ujarnya.
Ia menjadi kebiasaan bagi sesetengah syarikat jualan hartanah untuk mendedahkan jika kediaman yang hendak dijual itu mempunyai kisah mengerikan atau berhantu.
Syarikat hartanah memang mahu mendedahkan kisah di sebalik rumah berkenaan untuk menarik golongan pembeli yang menyukai kisah sejarah yang pelbagai, dan juga mereka yang menganggap hal paranormal bukan suatu masalah.
Namun, filem The Conjuring dilakukan di lokasi yang berbeza dan diinspirasikan daripada pengalaman keluarga Perron yang pernah mendiami rumah berkenaan pada tahun 1970-an.
Kali akhir, rumah itu dijual pada tahun 2019 pada harga AS$439,000 kepada sebuah keluarga yang melabelkan diri mereka sebagai penyiasat paranormal. Mereka malah menganjurkan acara, dan menyewakan bilik untuk tetamu yang berharap menerima kejutan ‘dihantui’.
Sebelum itu, pemiliknya tidak pernah mengadu tentang kehadiran ‘hantu’, namun sebaliknya mengeluh apabila peminat filem tersebut kerap menceroboh kawasannya tidak kira waktu.
Sumber: Awani