Sebanyak enam buah rumah di Kampung Kepala Jalan, Kota Kuala Muda dekat sini terjejas berikutan fenomena air laut pasang besar pada awal pagi ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah memaklumkan rumah tersebut dinaiki air selepas paras air sedalam lebih kurang 0.1 meter melimpah di kampung tersebut.
Namun, tiada laporan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda awam dilaporkan berikutan kejadian fenomena itu.
“Sebanyak tujuh lokasi hotspot yang dikesan sebagai kawasan yang berpotensi terjejas iaitu di sekitar persisiran pantai dan sungai di Tanjung Dawai, Kota Kuala Muda serta Tikam Batu.
“Namun begitu, hasil pemantauan pada malam semalam dan awal pagi hari ini mendapati hanya satu kawasan sahaja yang dinaiki air namun tidak serius,” katanya.
Pelbagai agensi berganding bahu dalam membantu mangsa yang terjejas dan melakukan pemantauan bagi memastikan keselamatan awam terjamin.
“Kita juga ingin nasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan menghentikan sementara waktu aktiviti-aktiviti di perairan pantai sepanjang tempoh fenomena ini berlaku bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku,” ujarnya.
Sumber: Utusan Malaysia
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.