Ekoran daripada masalah pencemaran air di Sungai Pajam, yang mengakibatkan ramai penduduk di negeri Selangor mengalami gangguan bekalan air sejak malam semalam, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mengadakan satu sidang media sebentar tadi.
Menurut LUAS, terdapat bau sehingga 4 TON yang dikesan di muka sauk LPA Sungai Semenyih dan 3 TON di Bukit Tampoi.
Punca kepada pencemaran ini masih belum dikenalpasti, namun LUAS mengesyaki dua kawasan utama iaitu di Kawasan Perindustrian Nilai 3 dan reban angsa di Sungai Pajam.
LUAS juga sudah mengarahkan JAS Negeri Sembilan, Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan dan JPS Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut.
Menurutnya lagi, terdapat pencucian secara besar-besaran di reban angsa bersebelahan dengan Sungai Pajam, sekitar jam 9 pagi tadi.
Loji rawatan air juga akan kembali beroperasi selepas pencemaran di sungai ini mendapat bacaan 0 TON. Bacaan tertinggi adalah pada malam tadi yang mencecah hingga 11 TON.
LUAS juga akan membuat laporan polis berhubung insiden ini dan berharap agar masalah ini dapat diselesaikan dengan segera.
Sumber: YouTube Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.