Atlet ekuestrian Malaysia Mohd Qabil Ambak Muhamad Fathil tampil cemerlang apabila melakar sejarah baharu sebagai atlet ekuestrian Malaysia yang pertama bertanding di Sukan Olimpik.
Menurut Presiden Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM) Syed Omar Syed Abu Bakar AlMohdzar, beliau menzahirkan ucapan tahniah kerana terpilih sebagai wakil negara dalam sukan itu.
“Ini bukan sahaja satu pencapaian penting dalam sukan nasional tetapi juga negara kita kerana ini adalah kali pertama Malaysia diwakili dalam acara ekuestrian pada temasya Sukan Olimpik.
“Olimpik memberikan kesempatan untuk kita bersatu dalam pelbagai cara terutama ketika berdepan cabaran global susulan pandemik COVID-19.
“Sebagai sebahagian daripada skuad Olimpik Malaysia, Qabil Ambak adalah suri teladan bagi sukan ekuestrian dan semua rakyat Malaysia.
“Kami mengucapkan selamat berjaya kepadanya dan tidak sabar untuk memberikan sokongan padu kepada beliau,” katanya.
Terdahulu, Qabil pernah berentap di Pertandingan Akhir Piala Dunia pada 2003 malah merangkul pingat dalam pelbagai kejohanan peringkat Asia dan Sukan SEA, termasuk perak dalam acara dressage individu pada Sukan Asia 2018.
Kehangatan Sukan Olimpik Tokyo kian dirasai dan dijadualkan bermula pada 23 Julai.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.