Program hiburan terkenal dunia All Together Now bakal menggegarkan Malaysia pada 6 Jun 2021.
All Together Now Malaysia merupakan program yang diadaptasikan daripada format asal dari United Kingdom.
Malaysia antara negara yang turut menyiarkan program yang mendapat fenomena di luar negara seperti Finland, Norway, Australia dan banyak lagi.
Lebih 250 peserta akan menyertai program ini, serta 50 orang juri dengan Dato’ AC Mizal sebagai Kapten Juri.
Program ini juga bakal dikendalikan oleh Sherry Al-Hadad selaku pengacara bagi All Together Now Malaysia.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal, pihaknya teruja apabila membawa format rancangan ini ke Malaysia kerana ia sebuah program yang memang lain dan luar biasa.
“Program ini memang sukar pada mulanya tetapi kita ingin memberikan seleksi rancangan menarik kepada penonton kita jadi timbul idea untuk mengadakan program ini di Malaysia.
“Saya juga suka konsep program hiburan nyanyian ini yang mana kita bawakan konsep muhibbah itu sendiri, sebab peserta kita tidak kira umur, bangsa, tua, muda, semua boleh masuk.
“Astro Ria juga mahu membawa bakat-bakat baharu nyanyian di mana semua peserta amatur bole menyerlahkan bakat mereka di pentas tersebut seperti rancangan Akademi Fantasia yang pernah diterbitkan dahulu,” katanya dalam sebuah Sidang Media secara maya.
Beliau juga menegaskan program ini telah dirakamkan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan kes COVID-19 ketika rakaman.
“Ini agak mencabar bagi kita sebab kita merakamkan program ini lapan jam bagi satu episod tapi berkat semua, peserta, juri dan krew, kita dapat menjayakan program ini dengan selamat,” ujarnya.
All Together Now Malaysia bakal menemui penonton pada setiap hari Ahad, mulai 6 Jun ini jam 9 malam di saluran Astro Ria.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.