Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kesembilan di Istana Negara di ibu negara pada jam 2.28 petang, hari ini.
Naib Presiden UMNO itu mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Antara yang turut berada di dalam Balai Singgahsana Kecil menyaksikan upacara bersejarah itu ialah Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun serta Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim.
Selain itu, turut kelihatan ialah ketua-ketua parti politik negara seperti Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yasin, Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ismail Sabri, 61, dilantik sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan Muhyiddin, yang meletak jawatan pada 16 Ogos lepas selepas kehilangan majoriti sokongan Ahli-ahli Dewan Rakyat.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.