Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan penggunaan alat semburan nano mist untuk tujuan disinfeksi tidak menggantikan keperluan nyahkuman permukaan secara manual.
Menurut satu kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, beliau memaklumkan penggunaan nano mist spray meraih perhatian umum sebagai alat disinfeksi bagi mengekang penularan Covid-19.
Tambahnya, ramai yang menganggap penggunaan alat tersebut mampu menghapuskan virus di udara dan juga di permukaan.
“Bagaimanapun, keberkesanan penggunaan nano mist spray untuk disinfeksi bergantung kepada keupayaan alat tersebut untuk menghasilkan semburan yang sekata pada permukaan, jenis dan kepekatan larutan disinfeksi digunakan serta tempoh masa pendedahan,” katanya.
Malah, terdapat beberapa larutan disinfeksi sedia ada seperti larutan yang mengandungi alkohol 70 hingga 90 peratus, hydrogen peroxide, thymol, quarternary ammonia dan juga larutan berasaskan klorin berkesan bagi membunuh virus SARS-CoV-2 di permukaan.
“Senarai larutan disinfeksi yang berkesan untuk SARS-CoV-2 boleh diperolehi di laman sesawang US Environmental Protection Agency https://www.epa.gov/coronavirus/about-listn-disinfectants-coronavirus-covid-19-0 yang menjadi rujukan seluruh dunia,” ujarnya.
Beliau turut berkata larutan disinfeksi yang disenaraikan adalah bertujuan untuk nyahkuman di permukaan persekitaran dan tidak sesuai digunakan secara langsung ke atas manusia.
“Ini adalah kerana, sesetengah larutan disinfeksi ini boleh menyebabkan iritasi pada mata, kulit, saluran pernafasan dan juga sistem pencernaan,” katanya.
Sumber: Facebook @dghisham