Kes COVID-19 semakin tenat di Malaysia apabila KKM memaklumkan jumlah penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi pesakit COVID-19 telah melebihi 100 peratus.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, trend kemasukan pesakit COVID-19 di ICU menunjukkan peningkatan sejak dari Minggu Epidemiologi (ME) ke-17 dan ke-21.
“Walaupun terdapat penurunan kes baharu harian bagi tempoh dua minggu lockdown iaitu mulai 1 Jun, kes-kes COVID-19 di ICU masih tidak menunjukkan penurunan yang ketara.
“Keadaan ini menyebabkan lebih ramai pesakit memerlukan bantuan oksigen dan alat pernafasan khususnya dalam kalangan golongan rentan seperti warga emas serta pesakit yang menghidap lain-lain penyakit (co-morbidity).
“Penggunaan kapasiti ICU yang melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan di mana tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU,” ujarnya.
Tambahnya, keperluan tempoh pemulihan yang lama bagi pesakit-pesakit ICU untuk sembuh disebabkan komplikasi jangkitan COVID-19 yang serius antara sebab penggunaan katil kian penuh.
Tempoh rawatan di ICU bagi kategori 4 adalah di antara 14 hari ke 16 hari, manakala bagi pesakit kategori 5 pula di antara 19 hari ke 26 hari.
Kini, Kementerian Kesihatan membuat persiapan bagi menambah kapasiti katil-katil sebanyak 11,598 katil di hospital dan 31,861 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Awam.
Malah, penggunaan katil ‘repurpose bed’ khas kepada katil rawatan pesakit kritikal COVID-19 turut dinaik taraf di wad biasa.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.