Seorang pengadil Bundesliga meraih perhatian seluruh dunia apabila dia bertindak menghentikan satu perlawanan bola sepak bagi memberi laluan buat pemain beragama Islam berbuka puasa.
Perlawanan di antara Mainz dan Augsburg pada minit ke-65 dihentikan sementara oleh Matthias Jollenbeck dan memberi peluang buat pemain pertahanan Mainz, Moussa Niakhate berbuka puasa ketika perlawanan berlangsung.
Video berdurasi 37 saat memaparkan pemain kelahiran Perancis itu meneguk botol air dan ditemani penjaga gol, Robin Zentner.
Selepas selesai berbuka puasa, pemain tersebut berterima kasih dan berjabat tangan dengan Jollenbeck.
Situasi ini merupakan pertama kali berlaku dalam sejarah Bundesliga yang menghentikan perlawanan untuk tujuan berkenaan.
Rata-rata penonton dan peminat bola sepak dunia memberikan pujian atas tindakan pengadil tersebut.
Malah, Pengarah Komunikasi Jawatankuasa Pengadil Jerman, Lutz Michael Frohlich turut menyokong tindakan yang dilakukan pengadil berkenaan.
“Tidak ada arahan khas dalam hal ini, tetapi sudah tentu kami menyokong pengadil kami untuk membenarkan rehat ketika Ramadan atas permintaan pemain,” katanya.
Sumber: DW Sports
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.