Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini memberitahu bahawa pelajar-pelajarnya dibenarkan kembali ke kampus bagi mengambil semula barangan peribadi mulai 15 Jun ini.
Bagaimanapun kebenaran itu akan diberikan secara berperingkat dan juga berjadual, seperti yang dimaklumkan oleh Timbalan Naib Canselor (HEP), Prof Dr Azizan Abdullah.
Tambah beliau lagi, pelajar juga diminta untuk membuat pengosongan bilik di kolej kediaman masing-masing mulai dari tarikh berkenaan.
"UiTM menerima banyak permohonan daripada pelajar untuk kembali semula ke kampus bagi mengambil barang peribadi khususnya buku rujukan dan komputer riba untuk tujuan meneruskan aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian dengan lebih lancar.
"Sehubungan itu, UiTM akan membenarkan pelajar untuk kembali semula ke kampus bagi mengambil barangan peribadi dan seterusnya membuat pengosongan bilik di kolej kediaman masing-masing bermula pada 15 Jun secara berperingkat dan berjadual.
"Kebenaran untuk kembali ke kampus bagi setiap pelajar adalah berdasarkan ketetapan tarikh dan masa yang ditentukan oleh pengurusan kolej kediaman masing-masing," katanya menerusi kenyataan yang dimuatnaik di Twitter rasmi UiTM.
Bagaimaapun UiTM cawangan Negeri Sembilan (Kampus Rembau) adalah dikecualikan kerana kampus berkenaan diwartakan sebagai pusat kuarantin oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Makluman lain akan dibuat kepada pelajar kampus ini kemudian.
Maklumat terperinci mengenai SOP yang perlu dipatuhi pelajar akan dimuatnaik di laman web rasmi http://www.uitm.edu.my pada Khamis ini.
Sumber: UiTM
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.