Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri, menamatkan aksi dalam final acara 3 meter papan anjal wanita di tempat keempat, sebentar tadi.
Atlet berusia 22 tahun ini menitiskan air mata kerana bangga akan aksinya yang dilihat lebih baik daripada Olimpik Rio 2016 lalu.
Dalam aksi di Pusat Akuatik Tokyo itu, Nur Dhabitah, 22, mengumpulkan markah keseluruhan 326.15 mata, hanya ketinggalan 17.6 mata di belakang pemenang pingat gangsa dari Amerika Syarikat, Krysta Palmer.
Jaguh China, Shi Tingmao, menepati ramalan selaku pemenang pingat emas dengan 383.50 mata manakala rakan senegaranya, Wang Han (348.75 mata), memenangi pingat perak.
Dhabitah mengakui mengalami pelbagai tekanan sepanjang perjalanannya sebelum mempamerkan aksi terjunan yang cukup memberangsangkan kali ini
“Saya memang sebelum ini tak yakin, rindu keluarga saya tetapi performance saya kali ini dah buat yang terbaik untuk negara.
“Saya tak fikir banyak, saya hanya enjoy untuk terjunan kali ini walau pun tak menang tetapi jauh lagi perjalanan saya untuk menjadi yang lagi baik pada masa akan datang,” katanya ketika ditemubual wartawan Astro Arena.
Dhabitah yang sentiasa mengukir senyuman di setiap kali terjunannya itu semestinya disenangi ramai.
Atlet ini juga berharap mahu lebih berusaha lebih kuat untuk temasya Olimpik yang akan datang dan memperoleh pingat untuk Malaysia
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.