Kediaman yang misteri dengan bau busuk di Taman Keladi akhirnya terjawab apabila pihak polis menemui mayat seorang warga emas.
Kira-kira pukul 4.52 petang, mayat lelaki berusia 65 tahun ditemukan dalam keadaan terbaring di dalam rumahnya dan difahamkan tinggal berseorangan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah memaklumkan pihaknya bersama kakitangan Kementerian Kesihatan bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima laporan.
“Maklumat awal diperoleh daripada jiran yang memaklumkan telah beberapa hari terhidu bau busuk sebelum melihat melalui tingkap nako mendapati mangsa terbaring di dalam rumah tersebut sebelum bertindak meghubungi polis.
“Mangsa yang bekerja sendiri dipercayai telah meninggal dunia lebih dari 24 jam berdasarkan keadaan mayatnya yang telah berbau dan siasatan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah di rumah berkenaan,” katanya.
Menurut warisnya, mangsa dilaporkan memang telah tinggal di rumah itu seorang diri sejak 10 tahun lalu dan mangsa juga menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.
“Mangsa sering mendapat rawatan di klinik kesihatan berhampiran dan warisnya akan menghubungi mangsa setiap minggu untuk bertanya khabar,” ujarnya.
Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sumber: Utusan Online
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.