Kelab Paris Saint-Germain (PSG) menandatangani dan mendapat persetujuan Lionel Messi untuk menyertai kelab mereka setelah penyerang tersebut gagal mencapai kesepakatan baru dengan Barcelona akibat masalah kewangan.
Susulan itu, pemain berusia 34 tahun itu memutuskan untuk menyertai kelab berpangkalan di ibu kota Perancis dengan rekod 672 gol dalam 778 penampilan untuk bekas kelabnya di Sepanyol.
Menurut Pengerusi dan Ketua Eksekutif PSG, Nasser Al-Khelaifi, beliau menjangkakan Lionel Messi akan menyerlahkan Paris Saint-Germain (PSG) bagi melakar fenomena baru bagi sukan bola sepak dunia.
“Saya gembira kerana Lionel Messi memilih untuk bergabung dengan Paris Saint-Germain dan kami dengan bangga mengalu-alukannya dan keluarganya ke Paris.
“Dia tidak menyembunyikan hasratnya untuk terus bersaing di peringkat tertinggi dan memenangi trofi, secara semula jadinya cita-cita kami sebagai kelab adalah untuk melakukan hal yang sama,” katanya.
Messi juga akan bergandingan semula dengan bekas rakan sepasukan di Barca, Neymar, untuk membentuk tiga penggempur hebat termasuk bintang Perancis, Kylian Mbappe.
Berbekalkan pengalaman bersama Sergio Ramos, Gianluigi Donnarumma, Georginio Wijnaldum dan Achraf Hakimi, perpindahan bersejarah Messi itu membawa pasukan kendalian Mauricio Pochettino tersebut ke satu dimensi baharu.
PSG tekad untuk merebut kembali gelaran itu dengan kemenangan 2-1 di Troyes, hujung minggu lalu selepas mahkota Ligue 1 dirampas Lille musim lalu.
Kehadiran Messi sedikit sebanyak mampu memberikan keyakinan kepada mereka untuk meraih kejayaan pertama dalam Liga Juara-Juara (UCL).
Untuk rekod, Messi telah memenangi empat gelaran UCL bersama Barcelona selain 10 kejuaraan LaLiga.
Penyerang handalan itu juga membawa Argentina meraih kejayaan Copa America sejak 1993 dengan jaringan empat gol bagi merangkul trofi antarabangsa senior pertamanya pada bulan lalu.
Tahniah, Lionel Messi!
Sumber: Stadium Astro
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.