Seorang lelaki tergamak bertindak menikam 10 orang termasuk ahli keluarga dan jiran menggunakan senjata tajam di Desa Pojok, Kediri, Jawa Timur, Indonesia.
Kejadian amuk itu berlaku di kediamannya dan tragedi ini lebih tragis apabila empat orang terbunuh termasuk ibu, ayah dan adik suspek serta tujuh yang lain cedera.
Menurut seorang saksi, Aris Setiawan memaklumkan suspek yang dikenali sebagai Riyanto dilaporkan bergaduh dengan ibu dan ayahnya mengenai pekerjaan sebelum kejadian itu berlaku.
Memetik laporan CNN Indonesia, suspek didakwa tidak bekerja selepas diberhentikan baru-baru ini.
“Beberapa jiran memaklumkan, suspek dilihat bertengkar dengan ibu dan ayahnya soal kerja sebelum keadaan menjadi huru-hara.
“Ketika itu, suspek tiba-tiba mencapai sabit lalu terus menghayunkannya ke arah ibu, ayah dan adiknya sehingga mereka maut.
“Kemudian, suspek menyerang pula beberapa jiran yang menyaksikan kejadian itu sebelum melarikan diri dan penduduk kampung membuat laporan polis,” katanya.
Menurut jurucakap polis Kediri, Rizkita Atmadha Putra mengesahkan kejadian itu dan suspek sudah ditahan polis untuk membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati suspek mengalami masalah kemurungan akibat dibuang kerja dan kemuncaknya tiba apabila dia sering didesak oleh ibu dan ayahnya untuk segera mendapatkan pekerjaan.
“Polis dimaklumkan, suspek merupakan seorang yang pendiam, selain sering menjadi tukang azan di masjid,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital dan kini sedang dirawat di hospital serta dalam keadaan stabil.
Sumber: CNN Indonesia
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.