Kecoh baru-baru ini di media sosial apabila sebuah kenderaan dibakar dan dipercayai digunakan untuk mencuri lembu di Felda Neram, Kemaman, Terengganu.
Rakaman video berdurasi 17 saat itu jelas menunjukkan beberapa ekor lembu berhampiran kenderaan tersebut dan beberapa individu bertindak membalikkan kenderaan itu sebelum ia terbakar.
Kejadian tersebut mendapat perhatian Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, pihaknya meminta jasa baik individu yang mengetahui maklumat mengenai insiden berkenaan untuk tampil.
Pihak polis dilaporkan sudah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat menggunakan bahan api sehingga menyebabkan kebakaran.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau berada di lokasi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan kes tersebut.
“Kita juga belum menerima maklumat daripada mana-mana pihak yang mendakwa kehilangan lembu peliharaan yang dikatakan berkait dengan kebakaran MPV itu sebagaimana maklumat yang tular,” katanya.
Tambahnya, setakat ini tiada sebarang laporan diterima melibatkan insiden kecurian lembu.
Namun, lokasi berkenaan rupanya lokasi tumpuan untuk melakukan jenayah curi lembu sebelum ini.
Pihak polis juga pernah menyelesaikan beberapa kes kecurian lembu di kawasan itu dua tahun lalu.
Sumber: Sinar Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.