Pengumuman mengenai kelonggaran kepada penerima dua dos vaksin COVID-19 akan dimaklumkan selepas Hari Raya Aidiladha.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kajian teliti sedang dilakukan ketika ini oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) sebelum dibentangkan kepada kerajaan.
“Seperti diumumkan Perdana Menteri bahawa kita akan beri kelonggaran kepada rakyat telah dapat dua dos vaksin, sekarang ini jawatankuasa teknikal sedang mengkaji secara terperinci.
“Siapa yang boleh bergerak, pergerakan dibebaskan untuk dapat dua vaksin, apa sektor perniagaan dilonggarkan apabila dapat dua vaksin.
“Perkara ini sedang diteliti, insya-Allah selepas hari raya (Aidiladha) nanti kita akan umumkan,” jelasnya.
Beliau memaklumkan perkara itu ketika melancarkan program Mindef Prihatin di Wisma Pertahanan, ibu negara pada Isnin.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini ada memaklumkan bahawa kerajaan akan mengumumkan kelonggaran terhadap penerima lengkap dua dos vaksin minggu ini.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.