Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun mempunyai kecerdasan otak atau IQ yang melebihi cendekiawan Albert Einstein dan Stephen Hawking.
Berasal dari Mexico, Adhara Perez dilaporkan memiliki tahap IQ sebanyak 162 melebihi Einstein dan Hawking hanya 160 sahaja.
Malah, kanak-kanak istimewa ini menghidap sindrom Asperger yang merupakan salah satu daripada gangguan spektrum autisme.
Sindrom Asperger telah menyebabkan Perez sedikit sukar untuk berkomunikasi secara bukan lisan atau menjalin hubungan sosial dengan rakan-rakan sebayanya.
Menurut ibunya, Nallely Sanchez, anaknya pernah mengalami kemurungan teruk sehingga tidak mahu hadir ke sekolah disebabkan sindrom yang dialaminya.
“Apabila Perez bermain dengan rakan sebaya, mereka sering membulinya dengan mengurungnya di dalam sebuah kandang kecil dan memanggilnya dengan nama-nama seperti ‘Budak Pelik’ atau ‘Budak Gila’.
“Saya mengambil keputusan untuk berhenti menghantarnya ke sekolah kerana tidak mahu dia menderita,” katanya.
Tambahnya, pelbagai usaha dilakukan untuk menyokong anaknya sehingga membawa Perez ke sebuah pusat terapi.
Difahamkan, selepas menghadiri pusat terapi itu, IQ anaknya dikenal pasti berada pada tahap yang luar biasa.
Perez berjaya menamatkan persekolahan peringkat rendah dan tinggi pada usia lapan tahun, dan sedang melanjutkan pelajaran dalam dua kursus berbeza secara maya.
Dia juga fokus dalam bidang penulisan dan ketika ini sedang menulis sebuah buku berjudul Don’t Give Up.
Kanak-kanak hebat ini juga sedang berusaha untuk mencipta inovasi seutas gelang pintar yang mempunyai fungsi memantau emosi kanak-kanak yang mempunyai gangguan perkembangan sama seperti dirinya.
Sumber: Wio News
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.