Seorang kanak-kanak perempuan berdepan detik cemas apabila tangan kanannya tersangkut dalam soket paip PVC, pada Khamis ketika bercuti bersama keluarga di Pengkalan Balak, Masjid Tanah.
Kira-kira jam 5 petang kejadian berlaku dan ibu bapa kanak-kanak berkenaan membawa anaknya pantas ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah untuk mendapatkan bantuan.
Menurut komander operasi, Pegawai Bomba Kanan (BPK) ll, Isharudin Ishak, beliau mengesahkan mangsa dan keluarganya datang dari Kuala Lumpur bercuti di resort itu.
Punca kejadian berlaku ketika kanak-kanak itu sedang bermandi-manda bersama keluarga di sebuah kolam yang terdapat paip penyambung ke pam penyedutan air kolam.
"Maklumat daripada keluarga, mangsa dipercayai memasukkan tangan ke dalam paip sepanjang satu meter itu.
"Dalam masa sama paip tersebut berfungsi dan tangan mangsa tersedut sekali dalam paip itu sebelum pemilik resort memotong paip PVC dan mangsa dibawa ke balai bomba," katanya.
Kira-kira 34 minit masa diambil anggota bomba untuk membantu mengeluarkan tangan mangsa menggunakan peralatan khas.
"Operasi tamat kira-kira jam 5.49 petang dan kanak-kanak itu hanya mengalami melecet di tangan kesan tersangkut di paip tersebut," katanya.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.