Baru-baru ini, tular apabila jururawat yang menyuntik vaksin COVID-19 kepada anak Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, dibidas atas dakwaan menyuntik 'angin' kepada Raif.
Menerusi video di laman Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jururawat berkenaan menafikan isu berkenaan dan memohon agar orang ramai tidak membuat sebarang andaian yang tidak benar.
“Tolong, tolong, tolong, jika anda tidak tahu jangan buat andaian dan jangan tuduh kerana ini melibatkan kehidupan orang.
“Jika perkara ini jadi kepada diri anda, apa yang anda rasakan? Tidak selesa, sakit hati dan geram.
“Saya cuma buat kerja saya sedaya upaya untuk lancarkan proses dan berikan keselesaan kepada kanak-kanak yang saya cucuk vaksin. Saya tidak mahu menjadikan perkara ini sesuatu perkara yang mentraumakan mereka.
“Kalau anda tidak mahu ambil vaksin COVID-19 tidak mengapa, tetapi jangan tuduh orang secara tidak berasas seperti itu,” katanya.
Anak Menteri Kesihatan, Raif yang berusia enam tahun selesai menerima suntikan vaksin dos pertama di pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Isnin lalu.
Terdahulu, video berdurasi 10 saat memaparkan Raif yang disuntik vaksin COVID-19 oleh jururawat berkenaan tular di media sosial dengan kapsyen dakwaan dos tersebut dibuang terlebih dahulu sebelum disuntik ke lengan anak Menteri Kesihatan itu.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.