Pengantin lelaki Mohamad Amirul Akmal Mohd. Aziz, menimpa ujian berat apabila kehilangan isterinya Siti Saraf Ismail selepas diijabkabulkan di Kampung Karang, Banggu pada Sabtu.
Malah, Allahyarhamah Siti Saraf Ismail hanya bergelar isteri kepada Mohamad Amirul Akmal dalam tempoh 24 jam sahaja.
Menurut Amirul, arwah isterinya meninggal dunia akibat pendarahan otak di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini pukul 12.30 tengah hari kelmarin.
Amirul juga menceritakan detik-detik cemas apabila isterinya mengejutkannya awal pagi kerana berasa tidak selesa.
“Isteri saya memaklumkan dia mengalami sakit kepala kira-kira pukul 3 pagi pada Ahad lalu. Saya kemudian terus berada di sisi menjaganya sehingga ke pagi.
“Sepanjang tempoh itu, saya lihat Siti Saraf berada dalam keadaan baik dan masih tidur. Selepas itu, saya dan keluarga dikejutkan dengan keadaan Siti Saraf yang tiba-tiba sesak nafas.
“Ketika itu, kami semua berada dalam keadaan cemas melihat situasi tersebut. Saya kemudian menghubungi ambulans,” katanya.
Cinta hatinya ketika itu dikejarkan ke hospital apabila memerlukan bantuan oksigen dengan kadar segera sebelum disahkan meninggal dunia.
“Isteri saya kemudian dibawa ke HUSM, namun disahkan meninggal dunia pukul 12.30 tengah hari (kelmarin).
“Hasil bedah siasat yang dilakukan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini pula, doktor mengesahkan arwah meninggal dunia akibat pendarahan dalam otak sebelah kanan,” ujarnya.
Jenazah Allahyarham Siti Saraf selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Karang kelmarin.
Rata-rata warganet menitipkan doa buat keluarga Allahyarham agar terus kuat dan redha menghadapi dugaan yang cukup berat ini.
Sumber: Kosmo
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.