Kejadian individu yang menyamar sebagai doktor di pusat pemberian vaksin (PPV) Stadium Perpaduan Kuching dan di Hospital Umum Sarawak (HUS) didapati tidak melakukan apa-apa tugas pemvaksinan.
Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) telah menyiasat inidividu itu menyamar menggunakan nama ‘Dr Shah’ dan hanya hadir sekali-sekala ke PPV Stadium Perpaduan pada 16 Jun lalu.
Menurut Pengarah JKNS Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed, tiada sebarang bukti atau jadual bertugas rasmi yang menyenaraikan individu itu untuk bertugas di PPV berkenaan.
“Lelaki yang mengaku sebagai Pegawai Perubatan Siswazah dari HUS itu memaklumkan hanya datang membantu jika ada kelapangan, tetapi tidak pernah melapor diri untuk bertugas secara rasmi.
“Tiada sebarang tugasan telah diberikan kepadanya yang dilihat selalu berada di ruang pendaftaran,” katanya.
Tambahnya, penyamar itu juga menggunakan pas nama dan Pas Petugas Jabatan yang palsu.
Namun, individu itu didapati tidak pernah bertugas sebagai pemvaksin ataupun sebagai sukarelawan di PPV HUS.
Kini, JKNS akan mengeluarkan arahan penambahbaikan melibatkan langkah penguatkuasaan kemasukan ke premis terlibat kepada pihak pengurusan PPV Stadium Perpaduan dan HUS.
Pada 6 Julai lalu, Shah Hairil Izman Dave mengaku bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuching atas tuduhan menyamar sebagai doktor pakar yang bertugas di PPV Stadium Perpaduan.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.