Seorang individu, Zabli Ab Hadi menyerlahkan kreativitinya dengan cubaan uniknya menggunakan kiub rubik dalam menghasilkan potret.
Baru-baru ini, dia tular di media sosial setelah menggunakan 391 bongkah kiub rubik disusun pada bingkai khas bagi menghasilkan potret pasangan personaliti Shuib Sepahtu dan isterinya Allahyarham Siti Sarah Raissuddin.
Zabli juga berkongsi potret berkenaan hanya mengambil masa kira-kira tiga jam untuk disiapkan.
Berasal dari Pahang, niat asalnya memuat naik video itu ke akaun Tik Tok @abam.takaful miliknya pada Rabu lepas hanya sebahagian daripada tugasnya sebagai pengurus Pusat Internet Kampung Pianggu.
“Ada orang meminta saya mengajar cara-cara memuat naik video ke aplikasi media sosial menyebabkan saya menghasilkan video itu supaya lebih difahami.
“Untuk content pula, saya fikir tidak salah jika berkongsi minat bermain kiub rubik yang menjadi hobi pada masa lapang sejak usia 14 tahun,” katanya.
Sokongan isterinya Nor Aimi Zaini juga salah satu sebab dia mahu meneruskan minat dan hasratnya menggunakan wang simpanan sebanyak RM2,000 bagi membeli 400 kiub rubik secara dalam talian.
Setakat ini, potret tersebut tidak bertahan lama kerana kiub rubik akan disimpan semula dalam kotak selepas gambar ‘lukisan’ itu diambil.
Tambahnya, Zabli berbuat sebegitu kerana tiada bekas simpanan yang lengkap untuk diabadikan dalam bentuk kiub rubik itu.
Sumber: Bernama
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.