Kehadiran badut dalam majlis keraian, hospital atau rumah perlindungan kanak-kanak pasti bertujuan mengukir senyuman pada setiap wajah kanak-kanak.
Namun, kali ini berbeza apabila sekumpulan badut hadir ke bazar Ramadan menyampaikan mesej dan mengingatkan pengunjung agar terus patuh pada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam suasana pandemik COVID-19.
Pada petang Sabtu itu, kehadiran mereka mencuri tumpuan pengunjung di bazar ramadan Taman Jati, di Ipoh, Perak.
Selain mengedarkan pelitup muka secara percuma kepada pengunjung di laluan masuk ke bazar tersebut, mereka memegang dua plakad yang tertera “Stay Safe #penjarakanfizikal” dan “COVID-19 watching us #jagasop”.
Nazirah Abd Rahman, wakil daripada Komuniti Muslim Clown Malaysia Negeri Perak, berkata kehadiran mereka di bazar Ramadan itu bertujuan mengingatkan para pengunjung supaya sentiasa patuh kepada SOP COVID-19.
"Bila kita orang turun macam ini, kita mengharapkan agar pengunjung lebih patuh kepada SOP supaya tidak jadi kluster bazar Ramadan pula.
"Dahlah nak raya ni. Nanti kes makin meningkat. Tak nak jadi macam tu.
"Jadi kita berharap dengan adanya kita kat sini, bila pelanggan tengok, lain kali bila mereka datang, mereka akan ingat.
"Jaga SOP. Sebab takut jadi macam sesetengah tempat yang bazar Ramadannya ditutup sebab tidak patuh SOP.
"Jadi kita berharap di kawasan ini tak jadi macam itulah," kata Nazirah.
Tambahnya lagi, sejak akhir-akhir ini ramai pengunjung memaparkan ketidakpatuhan terhadap SOP di bazar Ramadan jadi usaha ini dilakukan komunitinya susulan laporan berita itu.
Nazirah atau mesra disapa "Mama Pinky" berbesar hati dan akan terus membawa komunitinya melakukan kempen kesedaran sama ke bazar-bazar Ramadan yang lain di sekitar bandar raya dan negeri ini.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.