Baru-baru ini, kecoh di laman media sosial apabila gegelang sotong didakwa diperbuat daripada usus babi dan dicampurkan perisa sotong.
Susulan itu, Jabatan Perikanan (DOF) mengesahkan tiada identifikasi porsin (DNA babi) dikesan pada sampel gegelang sotong sejuk beku.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Mohd Sufian Sulaiman memaklumkan pihaknya melalui makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur selesai menjalani identifikasi analisis porsin ke atas sampel gegelang sotong itu.
“Justeru, DOF menegaskan beberapa sampel gegelang sotong sejuk beku yang mendapat permintaan tinggi daripada pengguna tempatan adalah selamat, dan tidak mengandungi DNA babi,” katanya.
Tambahnya, hasil ujian tersebut akan dihantar kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk tindakan lanjut.
Malah, beliau menekanakan pusat biosekuriti berkenaan adalah badan yang bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan kualiti makanan sumber laut, bagi kegunaan oleh pengguna Malaysia.
Selain mempunyai kepakaran mengesan DNA babi, pusat biosekuriti tersebut juga bertanggungjawab memastikan makanan laut dalam pasaran dan diimport ke negara ini, bebas penyakit dan kandungan dilarang selain penternak perlu mematuhi peraturan antarabangsa.
“Untuk produk makanan laut yang mahu dieksport pula, penternak perlu mendapatkan sijil keselamatan ikan dan sijil bebas bahan dilarang, barulah mereka boleh eksport produk tersebut,” ujarnya.
Beliau berharap agar orang ramai tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak benar sewenang-wenangnya sehingga menimbulkan keresahan para pengguna.
Sumber: Bernama
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.