Atlet terjun negara dan bekas juara dunia Cheong Jun Hoong akhirnya mengumumkan persaraannya setelah lebih dua dekad penglibatannya dalam sukan itu sejak 1999 secara rasmi.
Berusia 32 tahun, beliau tetap komited untuk mewakili negara biarpun mengalami kecederaan ketika itu.
Namun, beliau terpaksa menerima hakikat bahawa kontraknya tidak diperbaharui oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Renang Malaysia (MS) sekali gus memutuskan untuk bersara.
Melalui pengumuman persaraan dilakukan menerusi akaun Instagram miliknya, atlet kelahiran Ipoh itu merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang menyokong kerjaya sukannya.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada MSN, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) atas sokongan yang diberikan oleh mereka selama ini, tanpa mereka saya tidak akan berada seperti sekarang ini.
“Saya juga mengucapkan terima kasih tidak terhingga buat Institut Sukan Negara (ISN) atas sokongan mereka dalam pelbagai cara termasuk dari segi perubatan oleh doktor, rehabilitasi, fisioterapi, kaunselor psikologi dan semua kakitangan terlibat,” katanya.
Menurut Bernama, Jun Hoong berkata beliau masih belum memutuskan rancangan seterusnya buat masa ini, walaupun telah menerima tawaran kejurulatihan di Perak daripada MSN.
Sumber: Bernama
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.