Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin bakal menerima RM1 juta selepas berjaya merangkul pingat emas pertama negara pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 menerusi acara powerlifting kategori bawah 72 kilogram (kg).
Aksi penuh mendebarkan itu menyaksikan Bonnie melakukan angkatan dengan bebanan seberat 228kg dan berjaya mencatat rekod baharu Paralimpik.
Mengikut Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) sedia ada, atlet akan menerima inisiatif sebanyak RM1 juta bagi yang berjaya meraih pingat emas, RM300,000 perak dan RM100,000 gangsa sejak 2012.
Menurut Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin memaklumkan ganjaran itu masih sama seperti sebelum ini dan ia akan diberikan bagi setiap pemenang pingat.
“Ya, ganjaran yang akan diterima Bonnie sebagai pemenang pingat emas masih sama seperti edisi Rio sebelum ini, iaitu RM1 juta. Bagaimanapun, kali ini ada sedikit penambahan daripada penaja.
“Oleh itu, setiap pemenang pingat akan menerima ganjaran daripada Majlis Sukan Negara (MSN) serta pihak kerajaan,” katanya.
Sumber: Kosmo
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.