Seorang remaja, Sarah Beatrice Alomau, 19, bingung selepas melihat namanya berada dalam senarai mangsa nahas pesawat Sriwijaya Air yang terhempas baru-baru ini.
Beliau yang menetap di Tangerang dan bekerja di sebuah kilang mengesyaki ia dilakukan oleh rakan sekerjanya yang dikenali sebagai Selvin Daro.
"Dia mengesyaki rakan sekerjanya, Selvin Daro menggunakan identitinya untuk membeli tiket penerbangan ke Pontianak," katanya seperti dilaporkan Kompas.
Namun sehingga kini masih belum ada sebarang maklumat mengenai Selvin Daro dan siasatan masih dilakukan pihak berkuasa.
Menurut peguam Sarah, anak guamnya itu tidak pernah pula meminjamkan kad pengenalan kepada Selvin dan kad itu masih berada pada simpanan Sarah.
"Kami tidak tahu sama ada dia (Selvin) menggunakan salinan fotostat atau imbasan kad berkenaan ketika mendaftar masuk kerana kad yang asal masih ada pada Sarah," katanya sambil mempersoalkan bagaimana Selvin boleh melepasi pemeriksaan penumpang dengan menggunakan nama orang lain.
"Bagaimana dia dapat melepasi pemeriksaan dan ujian rapid antigen? Kebiasaannya, penumpang perlu menunjukkan kad pengenalan diri yang sebenar.
"Kami juga mahu syarikat penerbangan memeriksa rakaman CCTV untuk memastikan perkara ini," katanya lagi.
Satu lagi nama iaitu Felix Wenggo juga telah digunakan oleh seorang penumpang pesawat terbabit dengan tempat duduknya bersebelahan dengan Selvin. Kedua-dua nama ini dipercayai digunakan supaya mereka dapat menaiki pesawat itu.
Pesawat Sriwijaya Air yang membawa 62 penumpang dan kru terhempas empat minit selepas berlepas dan dilaporkan terputus hubungan, menyebabkan kesemua mangsa terkorban.
Sumber: Suara.com
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.