Bakso merupakan sejenis makanan berasaskan sup dari Indonesia yang diperbuat daripada campuran bebola daging, ayam, ikan atau udang.
Dipetik daripada Sinar Harian, Helmi Abd Rashid, 48, telah membuka gerai makan Ni Dio Abe Pok Mie Bakso di Pasar Tani Kekal (PTK), Besut, Terengganu, menjual bakso sejak 2010.
Makanan yang popular di Indonesia ini semakin menjadi pilihan orang ramai di daerah Besut, malah ada juga yang tidak mengenalinya ketika beliau mula memperkenalkan makanan ini suatu ketika dahulu.
“Saya belajar membuat bakso daging dan ayam dengan pekerja saya yang berasal dari Indonesia ketika saya menjalankan perniagaan di Kuala Lumpur sebelum 2010.
“Sebanyak 13 jenis rempah digunakan untuk menghasilkan makanan tersebut dan sebaik pulang ke Besut saya mula menghasilkan bakso sendiri untuk dijual di pasar malam,” katanya.
Baru-baru ini, beliau mendapat ilham untuk menginovasikan baksonya dengan menambah durian dalam masakan.
“Kalau di Indonesia memang ada bakso durian, keju dan beberapa perisa lain selain bakso asli tetapi di sini saya dapati belum ada lagi resipi sebegitu, jadi saya cuba hasilkannya.
“Syukur jualan mi sup bakso durian pada hari pertama kelmarin di gerai saya di sini mendapat sambutan baik daripada pelanggan sehingga ada yang menempahnya,” katanya lagi.
Menurut Helmi, sebiji durian untuk 500 gram daging mampu menghasilkan 60 hingga 70 biji bebola bakso.
Ada yang teringin nak cuba?
Sumber: Sinar Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.