Kredit: De Warrenne Pictures
Korang ingat lagi tak kes pasukan bola sepak lelaki Thailand yang terperangkap di dalam sebuah gua sementara barisan penyelamat berusaha menyelamatkan mereka pada tahun lepas?
Guess what? Kes tersebut yang mendapat perhatian dunia sekarang dah pun jadi filem! Bertajuk The Cave, filem adaptasi kisah benar ni berkisar tentang misi menyelamatkan 13 ahli ‘Wild Boars’ yang penuh dengan cabaran tak terduga.
Kredit: De Warrenne Pictures
Filem aksi-drama Thai ini ditulis dan diarahkan oleh Tom Waller dengan lokasi penggambarannya di gua Tham Luang di Thailand. Filem ini memaparkan sudut pandang yang berbeza beberapa orang yang terlibat dalam operasi menyelamat itu.
Yang lebih menariknya, terdapat beberapa individu sebenar yang turut berlakon dalam filem ni, contohnya Jim Warny (penyelam gua dari Belgium), Tan Xiaolong (penyelam dari China), Mikko Paasi (penyelam dari Finland), Erik Brown (penyelam dari Kanada), dan Todd Ruiz (wartawan Amerika akhbar Khaosod English).
Kredit: De Warrenne Pictures
Proses pembikinan filem yang sangat mencabar!
Bukan senang nak mengatur strategi dan memilih cara yang terbaik bagi menyelamatkan orang yang terperangkap dalam lokasi yang berbahaya seperti gua Tham Luang ni. Cabarannya terletak pada paras air boleh naik dengan mendadak ditambah dengan arus air yang deras serta keadaan gua yang sangat sempit dan gelap.
Kredit: De Warrenne Pictures
Apabila paras air telah naik disebabkan oleh hujan lebat, satu-satunya jalan keluar adalah dengan menyelam selama lima jam; mustahil untuk dilakukan kecuali bagi pakar penyelam gua.
Bukan misi penyelamatan ini sahaja yang mencabar; proses pembikinan filem ini juga ada dugaannya yang tersendiri!
Proses penggambaran filem ni mengambil masa 30 hari dan dilakukan di antara bulan Oktober 2018 hingga Januari 2019. Antara lokasi yang terlibat termasuklah Gua Tham Luang dan sekitarnya, berhampiran Mae Sai di utara Thailand dan beberapa buah lokasi lain di Thailand, Ireland dan Wales.
Ni lima cabaran utama yang ditempuh oleh kru-kru filem ini:
#1 Kena bina set sendiri
Kredit: De Warrenne Pictures
Masalah terbesar kru ialah macam mana nak shoot babak di dalam gua dan di bawah air, termasuklah saat getir ketika mereka ditemui. Oleh kerana kru dilarang menjalankan penggambaran di dalam gua sebenar, pereka produksi mereka kena bina set sendiri.
Mereka kemudiannya menemui kompleks sukan terbiar di pinggir kota Bangkok yang turut mempunyai sebuah kolam renang saiz Olimpik. Nak buat set simen yang akan menjadi replika tebing batu di mana kanak-kanak itu ditemui pun ambil masa 5 minggu.
#2 Terpaksa cari pintu masuk gua yang lain
Kredit: De Warrenne Pictures
Pintu masuk ke dalam gua yang sebenar adalah sangat kecil, dan orang yang nak masuk kena turun dari lereng licin dan menggerunkan. Kru dah banyak kali hantar permit untuk membuat penggambaran, tetapi ditolak.
Kredit: De Warrenne Pictures
Jadi, pada hari penggambaran, mereka terpaksa bergegas mencari pintu masuk gua di sekitar yang hampir sama untuk merakam adegan kanak-kanak menunggang basikal dan memanjat bukit ke pintu masuk gua. Terdapat juga gua-gua sebenar lain yang turut digunakan bagi penggambaran.
#3 Guna kipas besar untuk menggambarkan helikopter terbang dan mendarat
Kredit: De Warrenne Pictures
Adegan penting di mana mangsa dikejarkan di dalam ambulans yang berasingan menuju ke helikopter yang sedang menunggu untuk membawa mereka ke sebuah hospital di Chiang Rai juga hampir gagal apabila permit yang dijanjikan untuk menggunakan helikopter tidak dikeluarkan.
Bagi babak ni, peniup besar telah digunakan untuk meniru ribut yang dihasilkan oleh helikopter, dan babak ni lebih memberi penekanan terhadap keadaan yang huru-hara dari ambulans ke helikopter.
#4 Kru dilarang mengambil kanak-kanak yang sebenar untuk berlakon dalam filem ni
Kredit: De Warrenne Pictures
Kementerian Kebudayaan Thailand tidak mengeluarkan kebenaran untuk mengambil kanak-kanak yang sebenar untuk berlakon dalam filem ni kerana kerajaan Thailand sangat melindungi mangsa agar tidak dieksploitasi. Jadi, khidmat 12 orang pelakon kanak-kanak telah digunakan.
#5 Pemandangan sawah padi indah yang hampir tak dirakam
Kredit: De Warrenne Pictures
Kru filem ni pernah melawat seorang petani padi bernama Mae Bua kira-kira dua bulan sebelum hari pertama penggambaran. Ketika itu sawahnya baru kembali menghijau dengan pemandangan yang indah tak terkata.
Ketika lawatan ini kru sempat merakam pemandangan di sekeliling, meskipun penggambaran yang sebenar belum dijadualkan lagi. Ini ternyata suatu tindakan yang baik sebab bila diorang datang balik ke sawah padi yang sama dua bulan kemudian, padi-padinya telah dituai dan apa yang tinggal hanyalah sawah padi yang kering-kontang.
Kredit: De Warrenne Pictures
Jom tonton filem The Cave!
Memang teliti proses pembikinan filem yang berdasarkan kisah nyata ini.
Kalau nak tahu apa yang terjadi ketika misi penyelamatan itu dari awal sampai akhir, jangan lupa tonton filem The Cave ni di pawagam yang terdekat mulai 26 Disember 2019!