Hampir setahun Sukan Olimpik Tokyo 2020 terpaksa ditangguhkan akibat peningkatan kes COVID-19 dan masanya sudah tiba secara rasminya pada 23 Julai depan.
Pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat diambil serius untuk memastikan acara berprestij itu berjalan lancar.
Antaranya, para atlet perlu memastikan mereka tidak tersenarai dalam kontak rapat dengan mana-mana individu dijangkiti COVID-19 sepanjang menghadiri sukan itu di Tokyo.
Malah, lebih tiga kali ujian saringan perlu dilakukan para atlet sebelum berlepas dari negara asal.
Berikut adalah 10 fakta perkara menarik mengenai Olimpik Tokyo 2020;
#1 - Penyertaan lebih 11,500 atlet.
Penyertaan sukan Olimpik tahun ini hanya 11,500 atlet akan mengambil bahagian dengan 49 peratus adalah wanita manakala sukan paralimpik hanya 40.5 peratus sahaja atlet wanita.
#2 - 339 pingat akan dipertandingkan.
Sejumlah 339 pingat akan dipertandingkan bagi 33 sukan pelbagai jenis, meliputi 42 lokasi di Jepun.
#3 - Pingat sukan Olimpik Tokyo diperbuat daripada logam komputer dan telefon terpakai.
Menariknya, pingat untuk sukan gilang-gemilang ini dihasilkan daripada bahan terpakai dan 6.2 juta peranti elektronik terbuang termasuk yang terbuang di laut.
#4 - Sebanyak 62 peratus populasi Jepun mahukan sukan itu ditangguh, dibatal.
Kajian mendapati 62 peratus penduduk tempatan pada 21 Jun lalu tidak mahu acara sukan itu diteruskan.
#5 - Kira-kira 17.9 peratus populasi Jepun divaksinasi.
Berdasarkan data dalam Our World, setakat 11 Julai lau, hanya kira-kira 17.9 peratus daripada populasi negara itu lengkap divaksinasi.
#6 - Sebanyak AS$15.4 bilion (RM64.66 bilion) dibelanjakan.
Sebanyak RM64.66 bilion dengan AS$6.7 bilion (RM28.13 bilion) dibelanjakan kerajaan Jepun daripada kutipan cukai rakyat sebagai kos penangguhan.
#7 - Hampir 80 peratus atlet telah menerima vaksin COVID-19.
Kira-kira 80 peratus atlet daripada 10,900 atlet yang layak ke Olimpik Tokyo 2020 telah menerima vaksin COVID-19. Kesemua mereka menerima suntikan Pfizer-BioNTech.
Jika mereka disahkan positif COVID-19, mereka akan diasingkan dan tidak dibenarkan menyertai temasya sukan itu.
#8 - Penonton tidak dibenarkan, hanya wartawan dibenarkan.
Buat pertama kalinya Sukan Olimpik akan berlangsung tanpa penonton, hanya kakitangan sokongan dan wartawan dibenarkan untuk membuat liputan.
#9 - Tokyo menjadi tuan rumah untuk kali kedua.
Tokyo telah menjadi tuan rumah bagi sukan Olimpik sebanyak dua kali dan pertama kali diadakan di Tokyo pada 1964.
#10 - Katil atlet Olimpik Tokyo diperbuat daripada kadbod.
Tahukah anda? Rangka katil untuk para atlet Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 diperbuat daripada kadbod yang dikitar semula.
Tilam pula berbentuk politilena yang akan digunakan semula untuk produk plastik selepas temasya sukan tamat.
Sekarang anda sudah tahu, bukan? Pelbagai fakta menarik dan inisiatif dijalankan tuan rumah Sukan Olimpik Tokyo 2020 kali ini dalam situasi sukar pandemik ketika ini.
Sumber: Awani