Foto: Instagram
Pelakon Yusuf Bahrin menegaskan bahawa tindakan mengikuti atau tidak mengikuti pasangan di media sosial tidak sepatutnya dijadikan ukuran kepada status sesebuah hubungan, termasuk perkahwinan.
Menurut Yusuf, apa yang berlaku di media sosial tidak semestinya mencerminkan keadaan sebenar antara suami dan isteri mahupun ahli keluarga.
Beliau menjelaskan bahawa kebiasaan untuk saling mengikuti di media sosial antara rakan atau pasangan adalah perkara lazim, namun ada juga individu yang tidak berbuat demikian walaupun hubungan mereka kekal baik.
“Kebiasaannya kita akan saling mengikuti, termasuk dengan rakan-rakan, tetapi ada juga orang yang tak follow tetapi masih berkawan dan masih menjadi pasangan suami isteri yang baik.
“Hubungan rumah tangga baik, hubungan dengan keluarga pun baik. Saya sendiri ada adik-beradik yang tidak saling mengikuti di media sosial, tetapi hubungan kekeluargaan kami tetap harmoni,” katanya.
Yusuf turut mengakui bahawa beliau sendiri tidak mengikuti akaun media sosial ahli keluarganya dan tidak menganggap perkara itu sebagai isu yang besar.
“Perkara ini jarang berlaku, jadi apabila orang luar mengetahuinya, mereka mula membuat pelbagai andaian. Tapi bagi saya ia bukan satu isu. Tidak semestinya jika saya follow seseorang, itu bermakna saya okay.
“Ada orang follow kita sebab niat yang tak baik, dan ada juga yang tak follow sebab mereka tidak terbiasa dengan hal-hal seperti ini,” ujarnya lagi.
Tambahnya, beliau yang sentiasa berada di rumah dan sering bertemu dengan keluarga tidak melihat keperluan untuk terlalu memberi perhatian kepada interaksi dalam talian.
“Bila orang baru tahu, mereka rasa pelik, tetapi bagi saya semuanya dalam keadaan baik,” katanya.
Terdahulu, wujud spekulasi dalam kalangan netizen selepas Yusuf dan isterinya, penyanyi Zizi Kirana, dilaporkan tidak lagi mengikuti akaun Instagram masing-masing.
Keadaan itu menimbulkan pelbagai andaian, ditambah pula dengan beberapa hantaran yang dimuat naik oleh Zizi di aplikasi Threads yang dilihat seolah-olah mengandungi luahan perasaan dengan mesej tersirat.
Untuk rekod, Yusuf dan Zizi mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021 selepas berkenalan ketika terlibat dalam sebuah program hiburan.
Sumber: Gempak
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.