Foto sekadar hiasan
Perbualan mengenai adab dan tanggungjawab semasa membeli-belah kembali hangat di media sosial selepas seorang wanita berkongsi teguran terbuka terhadap tindakan seorang ibu yang membiarkan anaknya makan aiskrim yang belum dibayar di sebuah pusat beli-belah.
Perkongsiannya di laman Threads bukan sahaja mencetuskan perbincangan hangat, malah turut membuka mata ramai terhadap perlunya membentuk sikap beretika sejak kecil.
Menurut wanita tersebut, dikenali sebagai Nisa, kejadian itu berlaku di hadapannya apabila seorang kanak-kanak perempuan meminta izin kepada ibunya untuk makan aiskrim sebelum membayar.
Ibu itu dikatakan hanya membenarkan tanpa menegur. Anak itu kemudiannya berkata, “Mama, adik makan aiskrim ni dulu ya? Adik makan dulu tau,” sebelum terus membuka plastik dan menikmatinya.
Tindakan itu nyata mengejutkan Nisa. Beliau segera memberi nasihat kepada anaknya sendiri, menyatakan bahawa perbuatan tersebut adalah salah dan berdosa. Katanya, “Tak boleh! Berdosa! Kena bayar dulu baru boleh makan, nanti Allah marah”. Namun anaknya yang hairan menjawab, “Kakak tu boleh je makan, Allah tak marah pun.”
Nisa menjelaskan bahawa isu seperti ini jika dibiarkan tanpa teguran akan mencorakkan persepsi salah dalam kalangan kanak-kanak.
Tambahnya, ia bukan soal remeh, sebaliknya membabitkan soal integriti dan menghormati hak milik orang lain.
Beliau bimbang jika perkara itu menjadi kebiasaan, anak-anak akan terbiasa ‘mengambil dahulu, bayar kemudian’ dan menganggapnya sebagai norma.
Kongsi Nisa lagi, tindakan makan sebelum membayar bukan sahaja memberi pengaruh tidak baik kepada anaknya, tetapi juga boleh mencetuskan tantrum apabila anak-anak lain melihat dan meniru perlakuan tersebut. “Kalau anak orang lain tengok dan mula menangis nak ikut sama, tak ke menyusahkan?” katanya.
Reaksi di media sosial sangat positif terhadap teguran berkenaan. Ramai pengguna memuji keberanian Nisa menyuarakan isu itu secara terbuka.
“Saya yang berniaga ni selalu jumpa kes macam ni. Lepas anak makan, mak ayah lupa nak bayar. Bila kita tanya, mula lah marah-marah cakap dah bayar,” kata seorang pengguna.
“Anak kecil belajar daripada kita. Kalau kita benarkan mereka langgar peraturan kecil hari ini, jangan terkejut esok mereka tak tahu beza mana yang halal dan haram,” kata seorang lagi.
Walau bagaimanapun, terdapat juga suara yang lebih berhati-hati, terutama daripada ibu bapa yang mempunyai anak istimewa. Seorang pengguna menyatakan,
“Kalau anak autistik, kadang-kadang kita tak boleh tahan mereka bila lapar atau teruja. Kami biasanya bayar dulu, tapi tak semua sempat. Cuma jangan cepat sangat menghukum, mungkin ada sebab tertentu,” komen seorang lagi.
Perbincangan ini memperlihatkan wacana yang lebih besar betapa pentingnya nilai-nilai asas seperti amanah, hormat, dan integriti dalam membesarkan anak-anak. Ia bukan sekadar tentang membayar sebelum makan, tetapi tentang mengajar anak menghormati aturan masyarakat dan harta milik orang lain.
Dalam masyarakat yang semakin terbuka, perbuatan-perbuatan kecil yang dianggap biasa kadang kala boleh membawa kesan besar terhadap pemikiran dan sahsiah generasi akan datang.
Oleh itu, setiap ibu bapa perlu sedar bahawa mereka adalah contoh pertama dan utama kepada anak-anak mereka, terutama dalam hal sekecil adab membeli di pasar raya.
Sumber: Threads
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.