Penyanyi, Wani Kayrie cabar diri dengan penampilan single pertama bersama syarikat rakaman Rocketfuel Entertainment berjudul ‘Jangan Terlepas Pandang’.
Syazwani Abdullah atau mesra disapa Wani menitipkan rasa syukur atas pelancaran single ini yang pastinya mempamerkan sisi yang berbeza dirinya.
“Akhirnya penantian menghasilkan single bersama Rocketfuel tercapai jua. Syukur dan setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan kerana diberikan peluang menjadi sebahagian daripada keluarga besar Rocketfuel sekaligus tampil dengan lagu baru,” katanya.
Tidak dinafikan, pencapaiannya dalam mengharumkan nama Malaysia di mata dunia seperti di World Championship of Performing Arts (WCOPA) pada tahun 2012 di Hollywood, California, Amerika Syarikat dengan memenangi 1 pingat emas, 2 pingat perak, 1 pingat gangsa serta Hollywood Industry Award menjadikannya lebih matang.
“Mungkin masih ramai di luar sana yang kurang mengenali nama Wani Kayrie, namun sebagai anak seni itu sedikitpun tidak mematahkan semangat saya dalam meneruskan kerjaya yang saya cintai ini.
“Jangan Terlepas Pandang adalah suara hati saya. Setelah lebih dari 10 tahun bergiat aktif dalam bidang seni tanah air, saya lebih matang dalam berpendirian. Namun, saya masih lagi berharap untuk menjadi bintang utama dan tak dilepas pandang,” katanya.
Lagu yang mempunyai mesej nasihat dan pembakar semangat buat individu untuk terus melangkah ke hadapan dengan lebih cemerlang ini dihasilkan komposer terkenal negara, MFMF dan Asyraf Nasir.
Malah, rakaman bagi single terbaharu ini dilaksanakan di rumah sahaja ketika Perintah Kawalan Pergerakan yang berlaku sebelum ini.
Tambahnya, Wani berharap agar semua peminat dapat menerima lagu ini dan akan terus menyokong dirinya dalam bidang seni untuk terus berkarya.
Kini, lagu ‘Jangan Terlepas Pandang’ boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa di semua platform penstriman muzik dan video muzik juga boleh ditonton di saluran YouTube Rocketfuel Network.
Oleh: Muhammad Izwan Zainal
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.