Foto: Instagram
Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Zizi Kirana, mendedahkan pengalaman perit ketika ditahan dan disoal siasat oleh tentera Israel selepas kapal Huga yang disertai dalam misi kemanusiaan Global Freedom Flotilla (GFF) dipintas ketika menghampiri perairan Gaza, baru-baru ini.
Dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI, Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 40, berkongsi detik hitam ketika dirinya diperlakukan secara kasar dan tidak berperikemanusiaan, termasuk dipaksa menanggalkan tudung dan diperiksa dengan cara yang menghina.
“Seramai 17 orang lain dibenarkan masuk ke Imigresen. Saya bersama seorang penganjur wanita dari Palestin dibiarkan berjemur di bawah panas terik lebih sejam dalam keadaan melutut dengan tangan ke depan,” katanya.
Menurut Zizi, ketika cuba menenangkan diri dengan membaca al-Quran, tentera Israel turut merampas kitab suci itu daripada tangannya.
“Saya pakai topi, mereka suruh buka. Bila saya baca al-Quran, mereka tanya itu apa. Saya jawab itu al-Quran, tapi mereka suruh simpan dalam beg,” jelasnya.
Beliau berkata, keadaan bertambah tegang apabila namanya dipanggil untuk pemeriksaan lanjut di bahagian imigresen. Di situ, dia diarahkan menanggalkan kasut, stoking dan tudung.
“Saya beritahu mereka, haram bagi saya buka tudung sebagai seorang Muslim. Tapi mereka tetap paksa. Mereka tarik tudung saya dari belakang, saya pegang kuat-kuat sambil cakap ‘no’.
“Sampai rakan bukan Muslim yang ada bersama pun menangis, mereka jerit, ‘Nur, be strong’. Tapi akhirnya mereka tetap tarik juga sampai tudung saya terbuka,” ujarnya sebak.
Zizi berkata, dalam keadaan tertekan itu, dia hanya mampu berdoa supaya Allah memberikan balasan setimpal terhadap kezaliman yang dilakukan ke atas umat Islam.
“Saya betul-betul berdoa, ‘Ya Allah, berilah balasan paling setimpal atas kezaliman mereka’. Lepas itu saya dibawa ke satu ruang dan diperiksa seluruh badan. Saya hanya mampu sebut ‘Ya Rab’,” katanya.
Tambah isteri kepada pelakon Yusuf Bahrin itu, selepas pemeriksaan, dia bersama aktivis lain dibawa ke penjara tanpa kasut dan dalam keadaan tidak berpakaian lengkap.
“Di penjara, mereka langsung tak benarkan pakai hijab. Saya guna inisiatif sarung T-shirt putih untuk dijadikan tudung. Kami tak ada stoking, jadi saya guna selimut untuk tutup kaki dan solat. Saya cuma niat semoga Allah terima,” katanya.
Zizi turut memaklumkan bahawa beliau dan rakan seindustri, Ardell Aryana, antara aktivis Malaysia terawal yang tiba di penjara Israel selepas kapal mereka ditahan.
Walaupun berdepan layanan kasar, Zizi tetap bersyukur atas keprihatinan dan bantuan daripada kerajaan Malaysia serta Turkiye dalam usaha pembebasan mereka.
“Saya dan Ardell sentiasa positif. Kami yakin mereka sedang mengusahakan pembebasan kami.
”Alhamdulillah, apabila akhirnya menerima layanan penuh kasih sayang daripada kerajaan Turkiye dan Duta Malaysia, saya sangat terharu. Mereka bantu dengan segala kemudahan yang saya tak mampu ucap dengan kata-kata,” ujarnya.
Zizi turut menjelaskan bahawa sebaik dibebaskan, beliau hanya menerima semula pasport dan tidak dibenarkan membawa sebarang barangan peribadi dari Malaysia.
“Terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Turkiye atas segala sokongan dan bantuan yang diberikan,” katanya mengakhiri kisah penuh getir itu.
Sumber: Astro AWANI
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.