
Foto: X (@kamaghul)
Bayangkan anda sedang memandu santai di lebuh raya, tiba-tiba terdapat sekawan gajah melintas di hadapan anda. Itulah situasi yang dikongsikan oleh pengguna X (@kamaghul), yang kini meraih lebih 300 ribu tontonan!
Dalam ciapan tersebut, beliau berkongsi pesanan penting kepada para pemandu yang berhadapan situasi mencemaskan itu.
“Situasi sekiranya ternampak gajah melintas. Jangan panik, boleh berikan lampu hazard dan berhenti untuk memberi laluan kepada gajah.”
Ciapan ini mendapat pujian ramai kerana memberi peringatan yang sangat berguna. Reaksi netizen juga sangat positif, dengan ramai berkongsi pengalaman terserempak dengan haiwan liar sewaktu memandu di kawasan pedalaman atau berhampiran hutan simpan.
Menurut pakar dan pihak berkuasa hidupan liar, berikut merupakan tip keselamatan penting jika anda berhadapan situasi ini.
-Hidupkan lampu hazard sebagai isyarat kepada kenderaan lain.
-Jangan membunyikan hon atau membuat bising.
-Berhenti dan tunggu sehingga gajah melintas atau masuk semula ke hutan.
-Jangan keluar dari kenderaan untuk ambil gambar dekat-dekat!
Rata-rata warganet menyifatkan perkongsian ini sebagai ringkas tetapi bernas. Ada yang sempat berseloroh, “Tak apa lambat sikit sampai, janji tak kena kejar gajah!”
Insiden seperti ini mengingatkan kita bahawa Malaysia masih kaya dengan biodiversiti, dan penting untuk kita berkongsi ruang dengan alam, termasuk haiwan liar yang mungkin sesekali menggunakan jalan raya kita.
Jika anda melalui kawasan hutan seperti di Gerik, Jeli, atau Jerantut, sentiasa berwaspada dengan kehadiran haiwan liar.
Sumber: X (@kamaghul)
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.