Foto sekadar hiasan
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan bahawa anak bulan Syawal akan dicerap pada petang 19 Mac 2026 di 29 lokasi di seluruh negara. Tarikh rasmi Hari Raya Puasa akan diumumkan pada malam yang sama melalui siaran radio dan televisyen.
Kenyataan rasmi menyebut pengisytiharan ini dibuat bagi mematuhi titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Majlis Raja-Raja menegaskan bahawa penetapan tarikh Hari Raya Puasa dilakukan berdasarkan Rukyah dan Hisab.
Antara lokasi utama untuk melihat anak bulan Syawal ialah Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail di Pontian, Kompleks Falak Al-Khawarizmi di Melaka, Baitul Hilal Telok Kemang di Port Dickson, Bukit Melawati di Kuala Selangor, Bukit Jugra di Banting, dan Balai Cerap Selangor di Sabak Bernam.
Selain itu, Balai Hilal Pantai Pasir Panjang di Manjong dan Pusat Falak Sheikh Tahir di Pantai Aceh turut menjadi lokasi rasmi.
Di Kedah, cerapan dilakukan di Stesen Cerapan Hilal Kampung Pulau Sayak dan Menara Alor Setar. Terengganu menempatkan lokasi di Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; dan Balai Cerap KUSZA, Setiu.
Kelantan pula menamakan Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai; dan Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu.
Sarawak memiliki lokasi di Pusat Falak Miri, Teluk Bandung, Kuching dan Bintulu, manakala Sabah ialah Balai Cerap Al-Biruni, Putatan. Pahang pula termasuk Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands; dan Menara 188, Kuantan.
Empat lokasi tambahan ialah Menara Universiti Malaysia Sabah di Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.
Sumber: Bernama
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.