Penyanyi kumpulan Dolla, Tabby membuat kejutan negara apabila tersenarai dalam 100 Wajah Tercantik 2021 (100 Most Beautiful Faces of 2021) oleh TC Candler.
Tabitha Ariel Lam atau mesra disapa Tabby, dia tidak menyangka akan tercalon sebaris artis ternama dunia termasuk Rose BLACKPINK dari Korea Selatan.
“Saya sangat bersyukur dan terharu walaupun hakikatnya ramai lagi wanita cantik yang lebih layak. Saya memang tidak sangka apabila mendapat tahu dicalonkan TC Candler.
“Susah untuk saya percaya perkara ini kerana artis-artis lain semuanya hebat dan saya rasa bertuah dapat mewakili Malaysia dalam nominasi ini,” katanya kepada ERA.
Malah, Tabby juga merupakan satu-satunya artis Malaysia yang tercalon dalam anugerah tersebut.
Senarai tahunan 100 Wajah Tercantik itu dimulakan TC Candler sejak 1990 bersama The Independent Critics.
Ia merupakan penganjuran tahunan yang mendapat pengiktirafan dan diperakui di seluruh dunia.
Tabby bersyukur dan berterima kasih kepada seluruh peminat kumpulan Dolla yang sentiasa menyokong biarpun baru lagi di industri seni.
“Saya sangat-sangat gembira dan tidak terkata terutamanya kepada semua yang bersama Tabby, i-Dolla (peminat Dolla) dan syarikat rakaman.
“Jangan lupa untuk mengundi Tabby dengan tekan tanda like dan komen pada hantaran di media sosial TC Candler,” ujarnya.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.