Membuka tirai pentas Big Stage, 10 bintang ‘BBNU’ (Budak Baru Nak Up) mempersembahkan lagu yang melonjakkan nama mereka di platform media sosial. Ada yang mendapat pujian daripada barisan juri tetap; Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir serta juri jemputan; Noh Salleh, dan ada juga bintang yang menerima kritikan membina daripada mereka.
Sissy Imann merupakan antara bintang yang menyerlah pada minggu lalu dengan persembahan memukau beliau menerusi lagu Mungkin Kamu. Dengan peratusan terkumpul sebanyak 90.27%, Sissy berjaya meletakkan dirinya di kedudukan pertama dalam carta undian. Mengekori rapat di kedudukan kedua dan ketiga adalah Andi Bernadee dan Sarah Suhairi dengan jumlah peratusan yang sama iaitu 89.33%. Andi Bernadee mencuri perhatian Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan persembahan yang menyerlahkan kualiti dirinya sebagai seorang penghibur serba boleh. Manakala Sarah Suhairi pula, meskipun namanya kurang dikenali berbanding bintang BBNU yang lain, beliau melangkah dengan penuh yakin ke pentas dan memukau penonton serta barisan juri dengan vokal yang cukup mantap menerusi lagu Pedih sekaligus meletakkan penanda aras yang tinggi buat diri beliau sendiri.
Peserta di kedudukan tiga terbawah iaitu Tajul, Ariff Bahran dan Baby Shima terselamat daripada sebarang penyingkiran apabila pengacara, Alif Satar dan Sherry Al Hadad mengumumkan penyingkiran hanya akan bermula pada minggu kedua. Setelah pemarkahan diberikan oleh pihak juri, nasib tiga peserta dengan markah tercorot akan ditentukan menerusi peratusan undian daripada aplikasi Tik Tok.
Pada minggu kedua yang bertemakan ‘Lit Throwback’, pastinya persaingan akan menjadi lebih sengit. Mampukah Sissy Imann mempertahankan kedudukan beliau di kedudukan teratas? Siapa pula yang bakal menjadi bintang pertama meninggalkan pentas Big Stage?
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.