Foto: Instagram
Pelakon terkenal tanah air, Shaheizy Sam, menegaskan pendiriannya untuk tidak lagi melakonkan babak mesra atau bersentuhan dengan pelakon wanita dalam karya-karya akan datang.
Keputusan ini dibuat atas dasar kesedaran dan kefahaman terhadap hukum agama, bukannya semata-mata mahu menunjukkan diri sebagai lebih baik atau 'alim'.
Menurut Sam, 42, filem Indera yang menjalani penggambaran sekitar empat tahun lalu merupakan projek terakhir yang menyaksikan dirinya terlibat dalam adegan bersentuhan dengan pelakon wanita. Ketika ditemui pada majlis malam gala dan sidang media filem berkenaan semalam, beliau secara terbuka menyatakan perubahan pendiriannya.
"Kalau sekarang saya diminta untuk melakonkan semula babak sebegitu, saya tidak akan lakukannya. Pemikiran saya ketika itu berbeza.
“Saya hanya mahu jujur dalam kerja dan berusaha menjadikan lakonan saya menarik serta memberi impak. Tapi sekarang, saya sedar bahawa perkara itu tidak lagi perlu," jelas beliau.
Apabila ditanya sama ada beliau menyesal pernah melakonkan adegan-adegan mesra pada masa lalu, Sam menjawab dengan tenang bahawa beliau tidak melihatnya sebagai satu penyesalan yang berat, sebaliknya satu fasa dalam perjalanan kerjaya yang kini memberi ruang untuk refleksi dan perubahan.
"Dulu saya anggap ia sekadar kerja, tetapi apabila kita semakin mendalami ilmu dan faham tentang hukum-hakam, tidak wajar lagi kita gunakan alasan kerja untuk menghalalkan tindakan yang bercanggah," katanya lagi.
Tambah Sam, walaupun isterinya, pelakon Syatilla Melvin, tidak pernah membangkitkan isu tersebut secara terbuka atau mempersoalkannya, beliau tetap meletakkan dirinya dalam kedudukan yang memahami sensitiviti dan perasaan seorang isteri.
"Saya faham, walaupun tidak pernah dibangkitkan secara langsung, saya tahu sebagai suami dan bapa, saya perlu lebih berhati-hati dalam memilih jalan yang saya ambil," jelas beliau dengan nada penuh tanggungjawab.
Filem Indera, arahan pengarah berbakat Woo Ming Jin, merupakan sebuah karya bergenre ‘psycho-thriller’ yang berlatar belakangkan Tragedi Memali yang berlaku di Baling, Kedah pada tahun 1985. Filem ini menggabungkan elemen dramatik, psikologi dan sejarah, menjadikannya antara karya tempatan yang dinanti-nantikan penayangannya.
Selain Shaheizy Sam, filem tersebut turut dibintangi oleh barisan pelakon berkaliber seperti Azira Shafinaz, Ruminah Sidek, dan Samara Kenzo.
Sumber: Harian Metro
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.