Penyampai radio ERA, Radin meluahkan perasaan sebak apabila beraya bersendirian tanpa ibu di sisi setelah kehilangannya pada Februari lalu.
Memetik laporan Gempak, kebiasaannya arwah ibu Feridah Hashim sering menyediakan persiapan raya untuk keluarga mereka tetapi tahun ini agak berlainan.
“Tahun ini, suasana Ramadan dan Aidilfitri paling sayu sepanjang hidup saya. Kalau sebelum ini, segala persiapan raya akan difikirkan untuk arwah mama iaitu baju raya, kuih raya dan segala keperluan raya di kampung.
“Arwah mama seorang yang sangat particular dalam segala hal. Sepanjang tahun, pakaian raya kami satu keluarga akan sedondon.
“Apa yang paling rindu adalah momen masak rendang ayam setiap kali pada malam raya. Arwah akan masak dengan menggunakan dapur arang, katanya baru rasa rendang raya.
“Memang tiada persiapan apa pun yang saya lakukan tahun ini. Cuma ada beli sedikit kuih raya untuk jamah sendiri,” katanya.
Malah, Radin juga kagum dengan ibunya yang sentiasa bersedekah dan berkongsi juadah raya dengan jiran tetangga dan para tetamu.
“Momen raya dua tahun lepas bersama arwah mama di Ipoh, kami sedondon berbaju merah dan ketika itu keadaan kesihatan arwah mama sedikit merosot tapi arwah mama tetap akan buat persiapan memasak untuk hari raya,” ujarnya lagi.
Namun, Radin tetap akur dengan perintah kerajaan kerana tidak dapat pulang ke kampung di Ipoh, Perak untuk menziarahi kubur ibu dan bapanya.
Pada 18 Februari lalu, ibu tercinta Radin telah meninggal dunia akibat menghidap penyakit paru-paru berair.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.