Foto: Instagram
Pelakon Qasrina Karim mengakui berasa tertekan apabila menerima kecaman netizen yang mempertikaikan fizikalnya berbanding mutu lakonan dalam drama bersiri Thariq Ridzuwan: His Treasure.
Qasrina, 29, berkata, sejak episod awal drama siaran Astro itu ditayangkan, muncul komen yang menyentuh soal penampilan dirinya, seolah-olah dia tidak layak membawa watak utama sebagai Husniya Radwa.
“Ketika drama ini mula disiarkan, memang banyak komen negatif yang memberi kesan kepada saya. Paling menyedihkan, mereka bukan mengkritik lakonan tetapi lebih kepada fizikal saya.
“Saya juga manusia biasa yang ada perasaan. Saya beri sepenuh hati untuk menghidupkan karakter Husniya Radwa, jadi bila ada yang kata saya dapat watak hanya kerana rupa paras, memang membuatkan saya terkilan,” katanya ketika ditemui selepas tayangan episod akhir bersama peminat, semalam.
Tambah Qasrina, tekanan itu sebenarnya dirasai sejak awal penggambaran dan sedikit sebanyak mempengaruhi persembahannya di hadapan kamera.
Bagi mengelakkan gangguan, dia mengambil keputusan untuk menyekat akaun yang meninggalkan komen negatif, selain mengikuti nasihat pengarah, Eyra Rahman agar tidak membaca kecaman di media sosial.
“Pada awalnya saya baca komen kerana mahu memperbaiki kelemahan untuk projek seterusnya. Tetapi bila lihat kritikan tidak berkaitan kerja, saya mula menjauhkan diri.
“Malah, saya sekat beberapa akaun dan di TikTok pula saya tekan butang ‘uninterested’ supaya komen-komen sebegitu tidak muncul lagi,” jelasnya.
Selain Qasrina, drama adaptasi novel popular itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Meerqeen, Evertss Gomes, Edaman Othman, Thompson Goh dan pempengaruh Nasuha.
Sumber: Kosmo
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.