Foto: Instagram
Pelakon berbakat besar, Puteri Balqis Azizi mengumumkan berita gembira bahawa dirinya kini telah bertunang dengan seorang jejaka dikenali sebagai Didi.
Perkara itu dikongsikan menerusi satu hantaran di media sosial miliknya yang memaparkan beberapa foto sekitar majlis pertunangan tersebut. Dalam gambar berkenaan, pelakon berusia 18 tahun itu kelihatan manis dan anggun mengenakan busana serba putih ketika disarungkan cincin oleh wakil keluarga pihak lelaki, disaksikan keluarga kedua-dua belah pihak.
Puteri Balqis yang pernah meraih Anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Televisyen Asia 2014 itu bagaimanapun tidak mendedahkan tarikh rasmi majlis pertunangannya, namun turut menitipkan sebuah puisi bertajuk Surat dari Ibuku, Kafziel yang ditulis pada 12 Ogos lalu.
Puisi penuh makna itu menggambarkan perjalanan hidupnya yang sarat dengan ujian, disulam harapan agar segala kesedihan dapat digantikan dengan ketenangan, kesetiaan dan cinta sejati.
Antara bait puisinya berbunyi:
“Aku lahir daripada duka, kau dewasa bersama luka, maka andai derita menjadi pusaka, maka tenanglah, pabila kau berjalan bersama kecewa.”
Sebelum ini, Puteri Balqis pernah berkongsi bahawa ibunya sedang berdepan masalah kesihatan mental. Namun, pelakon remaja itu meluahkan rasa syukur kerana keluarga tunangnya memahami dan memberikan sokongan terhadap situasi tersebut.
Perkongsian berita itu menerima reaksi positif daripada para peminat dan rakan artis yang turut menzahirkan ucapan tahniah serta mendoakan agar hubungan pertunangan itu berkekalan hingga ke jenjang pelamin.
Sumber: Instagram
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.