
Foto: Instagram
Stesen radio popular tanah air, ERA, telah menunjukkan komitmen terhadap usaha memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia dengan turut serta memeriahkan Sambutan Minggu Perpaduan 2025 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung dari 17 hingga 20 Julai di pekarangan Stadium Negeri Pulau Pinang. Penglibatan ERA dalam acara berprestij ini bukan sahaja memberi suntikan kemeriahan, malah menyerlahkan peranannya sebagai medium hiburan yang mendekatkan masyarakat berbilang kaum.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif memupuk nilai kebersamaan dan keharmonian antara kaum, ERA telah menganjurkan sebuah program istimewa bertemakan "Sukan Uniti ERA" yang berlangsung pada hari Jumaat. Program ini berjaya menarik perhatian ramai pengunjung, khususnya golongan keluarga dan anak muda, yang hadir untuk menyertai pelbagai aktiviti yang bukan sahaja menghiburkan, malah menyemai semangat kesukanan serta kerjasama berpasukan.
Beberapa penyampai radio terkenal ERA turut hadir memeriahkan suasana, antaranya Nabil Ahmad, Azad Jasmin, Radin, Haziq, Sasha, Munaabella dan Syazwan Razak. Kehadiran mereka tidak sekadar sebagai penyampai, malah mereka turun padang untuk berinteraksi secara mesra bersama para pengunjung. Tindakan ini secara tidak langsung memperkukuh hubungan antara pihak media dan masyarakat, selain mencipta kenangan yang bermakna buat para peminat yang hadir.
Suasana turut menjadi lebih meriah dengan kehadiran selebriti tanah air yang tidak asing lagi, antaranya Cik B, Amar Ahyan, Eric Fuzi, Ryan Bakery, Wany Hasrita, Amira Othman dan Haqiem Rusli. Mereka turut serta dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan bersama orang ramai, sekali gus membuktikan bahawa seni hiburan dan budaya mampu menjadi jambatan yang menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang.
Antara permainan rakyat yang menceriakan suasana dan mencetus gelak tawa termasuk permainan Lumba Itik, Semut Berkawat, Cup Stacking, Body Rolling, Pyramid serta Ulat Bulu Berantai. Aktiviti-aktiviti ini telah berlangsung dari jam empat petang hingga enam petang dan berjaya menarik penyertaan pelbagai peringkat umur, daripada kanak-kanak hinggalah ke golongan dewasa.
Menurut Pengurus Jenama ERA, Puan Azah Sahrin, penglibatan ERA dalam sambutan ini merupakan satu peluang yang sangat baik untuk mendekati para pendengar daripada pelbagai kaum dan latar belakang budaya. Beliau menekankan bahawa pendekatan secara santai dan menyeronokkan ini mampu menyampaikan mesej perpaduan dengan lebih berkesan serta menyentuh hati masyarakat secara langsung.
Beliau turut berkata bahawa kehadiran para penyampai dan selebriti ERA bukan semata-mata untuk menghiburkan, tetapi juga bertujuan mencipta detik-detik indah bersama para pengunjung yang hadir. Ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan ERA dalam membina semangat muhibah dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang hidup dalam masyarakat majmuk.
Tambah beliau lagi, sebagai sebuah jenama radio yang sentiasa mendekati komuniti, ERA percaya bahawa hiburan memainkan peranan penting sebagai medium yang mampu membina jambatan toleransi, persefahaman dan saling menghormati antara kaum. Beliau menjelaskan bahawa melalui penganjuran Sukan Uniti ERA, pihaknya bukan sekadar mempersembahkan hiburan kepada masyarakat, malah turut menyediakan ruang untuk rakyat berinteraksi, bergembira bersama dan menghargai kepelbagaian budaya yang merupakan tunjang kekuatan negara.
ERA turut menyampaikan penghargaan kepada pihak penganjur atas jemputan dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh penganjuran program berlangsung. Segala sokongan tersebut amat dihargai dan menjadi dorongan untuk terus melibatkan diri dalam program-program bersifat kemasyarakatan pada masa akan datang.
Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai aktiviti terkini ERA boleh mengikuti saluran media sosial rasmi ERA atau memuat turun aplikasi ERA yang boleh didapati di Google Play dan App Store.
Sumber: Astro AWANI
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.