 Foto: Instagram
Foto: Instagram
Dalam suasana dunia hiburan yang kini hangat dengan kisah keretakan rumah tangga rakan seindustri, pelakon Raja Ilya tampil dengan pandangan jujur tentang hakikat sebenar sebuah perkahwinan.
Menurut Ilya atau nama sebenarnya Raja Ramilah Begum Raja Mohammad, 40, perkahwinan bukan sekadar kisah cinta yang indah, sebaliknya medan ujian untuk dua jiwa saling belajar, memahami dan bertahan. Namun, tidak semua perjalanan cinta berakhir dengan kebahagiaan dan ada kalanya perpisahan menjadi jalan terbaik.
“Perceraian itu satu pilihan. Kadang-kadang pengakhiran juga satu jawapan, terutama bagi mereka yang terluka secara fizikal atau mental. Tapi kalau memilih untuk terus bertahan, kena tahu fasa selepas anak pertama bukan mudah,” katanya menerusi Instagram.
Pelakon filem KL Vampires itu turut menegaskan ramai pasangan sering terperangkap dalam jangkaan yang terlalu tinggi terhadap pasangan masing-masing.
“Wanita sering berharap suami memahami, membantu dan peka terhadap keperluan mereka. Tapi bila semua harapan disandarkan pada seorang manusia, akhirnya kita juga yang kecewa.
“Lelaki dan wanita itu berbeza. Cara fikir, cara sayang, bahkan cara meluah penat juga tidak sama. Salah faham dan rasa tidak dihargai itu lumrah. Perkahwinan bukan tentang cinta yang sempurna, tapi kekuatan untuk terus berdiri walau kasih terasa goyah,” ujarnya.
Ilya turut berkongsi bahawa pengalaman membesar dalam keluarga berpecah membuatkan dia lebih menghargai keutuhan institusi keluarga.
“Saya datang daripada keluarga berantakan. Anak-anak perlukan kedua-dua ibu bapa di bawah satu bumbung selama mana hubungan itu masih boleh diperbaiki. Jiwa dan masa depan mereka dibentuk daripada apa yang mereka lihat di rumah,” katanya.
Tambahnya lagi, tiada siapa benar atau salah dalam rumah tangga kerana setiap pasangan berjuang dalam bentuk yang berbeza.
 
 
“Wanita bertarung dengan keletihan dan emosi. Lelaki pula menanggung peranan sebagai pelindung dan ketua keluarga. Tiada manusia sempurna. Apa yang membuatkan perkahwinan kekal bukan kesempurnaan, tetapi kejujuran, usaha, dan saling mengingatkan tentang tujuan asal. Tuhan, keluarga dan kasih sayang.
“Apa yang saya belajar, kalau bergaduh sampai menjerit sekalipun, sebelum tidur mesti salah seorang ketepikan ego dan ucap ‘maaf’. Dari situ, kita belajar untuk terus membina, bukan menghancurkan,” katanya.
Raja Ilya kini menetap di Australia bersama suaminya, Trent Garret, yang dinikahinya pada 2018. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Talita Love, 3, dan Royal Abraham, 1.
Kenyataannya muncul sehari selepas pelakon Uqasha Senrose hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur bagi prosiding pertama kes perceraian dengan Kamal Adli, yang bagaimanapun ditangguhkan ke 28 Oktober selepas Kamal tidak hadir.
Peguam syarie mewakili Uqasha, Nurfarhana Abd. Manaf, memaklumkan bahawa pelakon wanita itu memfailkan perceraian atas alasan tiada persefahaman dan mereka difahamkan sudah tidak tinggal sebumbung sejak beberapa bulan lalu.
Sumber: Instagram
      
     
    
      Filled Under :
      
      
      
      *Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.