Agak tidak keterlaluan untuk meletakkan filem PASKAL sebagai filem terbaik tahun ini dari segi aksi dan teknikal. PASKAL berjaya membuktikan bahawa anak-anak Malaysia juga mampu menghasilkan sebuah filem yang menakjubkan.
Filem yang diinspirasikan dari kisah benar ini bakal membuatkan anda rasa teruja dengan kehidupan seorang komando. Babak-babak latihan ahli komando yang begitu ketat pasti membuatkan anda tidak senang duduk.
Mungkin ada sedikit cacat cela, namun mana ada dalam dunia ni yang sempurna. Tetapi, kelemahan-kelemahan filem itu dapat dimaafkan dengan beberapa aksi luar jangkaan. Bayangkan apabila bot laju diterjunkan daripada sebuah helikopter. Dan melihat aksi terjunan ahli PASKAL memang membuatkan rahang terjatuh.
Filem ini bukan sekadar membawa tema patriotik tetapi terdapat unsur-unsur kekeluargaan yang pasti menyentuh perasaan. “Baru sekarang aku faham kerja kau…” - Ayat seorang ibu kepada anaknya yang bekerja sebagai komando PASKAL sangat lah menyentuh hati sehingga boleh menitis air mata.
Melihat kepada asset-aset ketenteraan yang digunakan pasti membuatkan anda rasa kagum. Kemunculan kapal selam di persada laut biru. Kebolehan helikopter terbang setinggi awan dan beberapa asset lagi membuatkan anda rasa teruja dengan cerita ini.
Dari segi jalan cerita, plot yang dihidangkan agak mudah difahami dan menghiburkan. Banyak aksi yang mendebarkan seperti tembak menembak. Namun begitu terdapat juga unsur-unsur jenaka.
Watak yang paling menonjol dalam filem ini semestinya Amar Alfian dan juga Amerul Affendi. Kedua-duanya membawa watak filem ini dengan baik sekali.
Tahniah kepada semua warga kerja PASKAL dan terima kasih kerana menghasilkan filem yang menginspirasi. Diharapkan ini akan menjadi penanda aras kepada semua penerbit filem untuk menghasilkan filem yang lebih berkualiti.
Akhir sekali, sangat lah tidak rugi anda meluangkan masa dan membelanjakan wang untuk menonton filem ini. Pasti anda tidak menyesal meluangkan masa di dalam panggung wayang. Sangat sesuai ditonton oleh semua orang dan banyak memberi pengajaran kepada kita semua. Sokong lah produk local yang berkualiti demi kelangsungan industri filem kita.
“Negara dan keluarga, sama sahaja!”- PASKAL
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.