Foto: Instagram
Pelakon, Nabila Huda menyuarakan pandangan bahawa bapanya, ikon rock tanah air Amy Search, seharusnya tampil memainkan peranan sebagai ketua keluarga bagi meredakan ketegangan yang masih belum berpenghujung.
Menurut Nabila, atau lebih dikenali sebagai Abil, dia telah berusaha ke arah perdamaian sebelum ini. Namun sehingga kini, usaha tersebut belum membuahkan hasil.
“Saya rasa soalan tentang berdamai itu lebih sesuai ditujukan kepada pihak sana. Saya sudah banyak kali jelaskan perkara ini.
“Buat masa sekarang memang belum ada penyelesaian. Sebagai seorang ayah dan ketua keluarga, mungkin dia yang perlu ambil tanggungjawab untuk selesaikan apa yang patut,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sebagai seorang ibu, Nabila mengakui sukar membayangkan situasi terpisah daripada anak sendiri. Katanya, jika berada di tempat bapanya, dia tidak mampu meneruskan kehidupan seperti biasa tanpa kehadiran zuriat.
“Kalau saya tak dapat jumpa anak, saya rasa saya tak kuat. Anak itu darah daging kita. Saya tak tahu apa yang dia rasa, mungkin dia pun rasa perkara sama cuma tak tahu bagaimana hendak perbetulkan keadaan,” ujarnya.
Ibu kepada Keisha Laila itu turut menegaskan bahawa perpisahan dengan anak adalah sesuatu yang terlalu berat untuk ditanggung.
Dalam pada itu, Nabila memilih untuk menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Tuhan. Katanya, doa menjadi sandaran utama agar hubungan yang retak dapat diperbaiki suatu hari nanti.
“Ramadan kali ini saya sudah lebih tenang. Rasa rindu yang pernah saya luahkan dulu memang kuat ketika itu, tetapi sekarang saya cuba bergerak ke depan.
“Kadang-kadang bila terlihat sesuatu, perasaan itu datang semula. Namun saya sudah penat bercakap tentang perkara yang sama. Kita ini manusia biasa, tetap ada rasa sedih dan marah,” katanya.
Mengulas kehidupan peribadinya, Nabila berkata dia kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada suami dan anaknya serta menghargai kebahagiaan yang ada.
“Saya bahagia dengan kehidupan sekarang. Doa memang tak pernah putus, terutama dalam bulan Ramadan dan Syawal, cuma mungkin belum sampai waktunya untuk dimakbulkan.
“Kita kena teruskan hidup. Kalau terlalu lama terperangkap dalam kesedihan, orang yang ada di depan mata pula yang akan terluka.
“Saya cuma berharap hidup ini benar-benar lengkap. Buat masa ini saya bersyukur, walaupun mungkin ada sedikit kekosongan,” katanya lagi.
Tambah Nabila, dia enggan meletakkan jangkaan terlalu tinggi terhadap apa yang bakal berlaku kerana masa depan hubungan itu masih belum jelas.
“Mungkin satu hari nanti segala yang terpisah akan bercantum semula. Kalau sempat diperbetulkan sebelum saya tiada, alhamdulillah. Kalau tidak, saya serahkan pada takdir. Saya hanya mampu berdoa,” luahnya.
Sebelum ini, hubungan antara Nabila dan Amy dilaporkan kembali renggang sejak tahun lalu susulan konflik dalaman keluarga.
Sumber: Kosmo
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.