Foto: Tangkap skrin layar Instagram
Seorang peserta Miss Universe Latina, Laura Pérez, mengalami insiden mencemaskan apabila terjatuh dari platform setinggi 10 kaki (kira-kira tiga meter) ketika menyertai salah satu cabaran dramatik untuk melayakkan diri ke pusingan akhir pertandingan tersebut.
Insiden yang mengejutkan itu berlaku ketika Pérez, yang merupakan antara peserta kegemaran ramai, cuba melengkapkan tugasan mencabar yang memerlukan peserta menaiki sebuah platform tinggi sebelum melompat ke udara bagi mencapai replika mahkota yang tergantung di tengah pentas.
Mengikut aturan cabaran, Pérez mengenakan tali keselamatan dan berjalan di atas laluan sempit menuju ke titik tengah pentas. Namun, situasi menjadi tidak dijangka apabila tali keselamatan yang digunakan kelihatan tidak berfungsi dengan baik dan loncatan Pérez tidak berlaku seperti dirancang. Akibatnya, beliau terjatuh dengan kuat ke atas pentas di hadapan penonton dan kamera siaran langsung.
Rakaman detik tersebut yang tersebar meluas di media sosial memaparkan wajah Pérez yang jelas menahan kesakitan sambil terbaring di atas pentas. Hos acara, Jacky Bracamontes, segera menghampiri peserta itu dalam keadaan panik dan meminta bantuan segera daripada pihak perubatan.
“Ay, Laura, awak okay? Boleh bangun? Tolong panggil pasukan perubatan sekarang. Kami akan pastikan dia dirawat. Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan,” kata Jacky dalam nada cemas ketika siaran langsung berlangsung.
Salah seorang juri pertandingan, Fabián Ríos, turut naik ke pentas bagi memberikan bantuan awal sementara menantikan kehadiran pasukan perubatan. Penonton yang menyaksikan kejadian itu nyata tergamam dan suasana dewan bertukar senyap seketika.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak penganjur berkenaan tahap kecederaan yang dialami Laura Pérez atau sama ada beliau masih akan meneruskan penyertaan dalam pertandingan tersebut.
Insiden ini sekaligus menimbulkan persoalan tentang tahap keselamatan dalam produksi acara pertandingan ratu cantik, khususnya apabila membabitkan cabaran fizikal di atas pentas. Ramai netizen meluahkan kebimbangan serta berharap agar aspek keselamatan peserta diberi perhatian serius bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.
Sumber: Instagram
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.